Jadilah Pengikut Pecah Palak Mikir

Friday, 28 March 2014

17 Tahun Usaha Kerajaan Tidak Sia-sia Menamatkan Persengketaan Bangsamoro Dengan Kerajaan Filipina



Bangsamoro hari ini melakar sejarah memeterai perjanjian damai dengan Kerajaan Filipina, sekali gus menamatkan konflik berdarah hampir 40 tahun di selatan negara ini bagi membawa sinar harapan kepada Bangsamoro yang majoritinya beragama Islam.

Perjanjian Komprehensif Mengenai Bangsamoro itu (CAB) itu ditandatangani dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina setelah 17 tahun mengadakan rundingan, dengan Malaysia bertindak sebagai fasilitator.

Upacara bersejarah itu diadakan di Istana Malacanang di sini disaksikan oleh Presiden Filipina, Benigno S. Aquino III; Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak; Penasihat Presiden mengenai Perdamaian, Teresita Quintos Deles dan Pengerusi MILF, Murad Ebrahim.

Lebih 1,500 orang hadir menyaksikan upacara itu termasuk 500 pemimpin, perwakilan dan penyokong MILF, para diplomat asing dan pemimpin-pemimpin tempatan.

Perjanjian Komprehensif itu turut mengesahkan persefahaman dan komitmen antara kerajaan Filipina dan MILF, bukan sahaja untuk menamatkan konflik berdarah di selatan negara ini yang telah meragut lebih 150,000 nyawa tetapi juga mengiktiraf hak, kedaulatan dan aspirasi Bangsamoro serta masa depan politik mereka bagi membentuk kerajaan sendiri yang akan melindungi identiti mereka.

Kedua-dua pihak juga mengiktiraf tanggungjawab bersama untuk mendokong prinsip-prinsip keadilan.

Dokumen perjanjian itu antara lain turut menyebut tentang komitmen kedua-dua pihak untuk membantu mengurangkan ketidakadilan sosial, ekonomi dan politik serta membetulkan semula ketidakadilan sejarah terhadap Bangsamoro.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menangani masalah pembahagian sama rata kekayaan dan kuasa politik bagi kepentingan kedua-dua pihak.

Proses rundingan damai itu telah pun bermula sejak 1997 dan ia kemudian disambung semula pada 2001 dengan Malaysia bertindak sebagai fasilitator sehingga membawa kepada upacara menandatangani Rangka Kerja Perjanjian mengenai Bangsamoro pada Oktober 2012.

Dokumen lengkap dan semua dokumen berkaitan tentang perjanjian itu siap sepenuhnya pada Januari 2014 diikuti dengan menandatangani Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro pada hari ini di Istana Malacanang.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140328/lu_02/Konflik-40-tahun-berakhir#ixzz2xDuz6cYW
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Isu Terkini

get this widget here