Tuesday, 19 June 2012

Syiah Semakin Menular Secara Senyap Di Malaysia

Syiah menular secara senyap di Malaysia

DIFAHAMKAN terdapat 200 juta pengikut Syiah di seluruh dunia. Di Malaysia, anutan ini dipercayai sedang berkembang.Untuk mengenali Syiah, perlu difahami bahawa ia terbahagi kepada tiga golongan iaitu al-Tasyaiyu’, al- Mufadhdhila dan al-Rafidhah.

Pada asasnya, Syiah dianggap golongan yang memberikan wala' (taat setia) melampau kepada Saidina Ali bin Abi Talib serta keturunannya sekali gus menafikan kemuliaan Khalifah Ar Rasyidin yang lain iaitu Saidina Abu Bakar Assidiq, Umar Al Khattab dan Saidina Usman Ibn Affan.

Turut termasuk dalam kumpulan yang ditentang oleh Syiah ialah Saidatina A'isyah, iaitu isteri kesayangan Rasulullah SAW sendiri.

Selain itu ada juga telahan bahawa penentangan ini bukan sekadar membenci, malah sampai ke tahap kafir mengkafir.

Namun, daripada tiga golongan Syiah ini, hanya al-Rafidhah yang menolak Abu Bakr, Umar dan Usman.

Al-Tasyaiyu' pula adalah golongan yang bersimpati dan menyebelahi Saidina Ali dalam Perang Siffin antara Ali dengan Muawiyah bin Abi Sufyan pada 657 Masihi.

Rasa simpati ini turut terkait dengan peristiwa Karbala yang berlaku pada 10 Muharam tahun 61 Hijrah (680 Masihi) apabila anak Saidina Ali, Saidina Husain diserang dan dibunuh oleh tentera Yazid bin Muawiyah di Karbala, Iraq.

Sejak itu, pada setiap 10 Muharram, penganut Syiah akan melakukan upacara memukul diri sendiri dengan 'qamezani' iaitu sejenis pisau seakan pedang atau rantai besi sebagai tanda meratapi pembunuhan Saidina Husain dengan kejam pada tarikh tersebut.

Al-Mufadhdhila pula, meskipun mereka meletakkan kedudukan Saidina Ali dan keturunannya lebih mulia dan lebih tinggi daripada sahabat lain, namun mereka tetap mengiktiraf kekhalifahan Abu Bakar, Umar dan Usman.

Mereka juga tidak sampai mencela sahabat-sahabat kesayangan Rasulullah SAW itu. Daripada tiga golongan ini, hanya al-Rafidhah sahaja yang secara terangterangan menafikan kekhalifahan Abu Bakr, Umar dan Usman kerana mereka menganggap, selepas kewafatan Rasulullah, orang yang layak menggantikan baginda ialah Ali, diikuti keturunannya.

Ini sekali gus menyebabkan timbul tanggapan kononnya pelantikan mereka yang selain Ali dan keturunannya adalah salah dan mereka yang mematuhinya didakwa sesat. Meskipun Syiah lebih cenderung untuk dikaitkan dengan Saidina Ali dan keturunannya, namun kewujudan Syiah dikatakan lebih dahulu daripada itu.

Malah ada versi yang mengaitkan kewujudan kumpulan itu dengan Abdullah bin Saba', seorang Yahudi yang berpura-pura memeluk Islam dengan misi mahu menghancurkan Islam dari dalam (munafik).

Namun, Abdullah bin Saba' hanya seorang individu dan ini bukan faktor yang kuat bagi perkembangan Syiah hingga ke hari ini.

Faktor lain yang lebih kuat ialah kaitannya dengan sejarah Parsi sehingga melahirkan negara Syiah, Iran yang paling kuat pada masa ini.

Kegemilangan empayar Parsi berakhir pada era pemerintahan Khalifah Umar al Khattab. Orang Parsi yang sebelum itu beragama Majusi (Zoroastrian) mulai menerima Islam antara 637 hingga 651 Masihi.

Meskipun ramai yang ikhlas memeluk Islam, namun ada juga yang berdendam. Ada versi mendakwa mereka yang berdendam ini mendalangi misi pembunuhan Saidina Umar selain mencetuskan bibit kebencian sehingga terjadi pembunuhan Saidina Usman.

Misi membalas dendam ini dikatakan diatur bersama kumpulan Abdullah bin Saba'. Ketika Saidina Ali mengambil alih tampuk pemerintahan, berlaku kekecohan dalam menentukan siasatan dan hukuman terhadap pembunuh Saidina Usman.

Kumpulan diketuai Saidina Ali berpendapat, kekecohan perlu diredakan segera, kemudian barulah siasatan dilakukan untuk menjejak pembunuh Usman.

Namun kumpulan yang kedua diketuai Muawiyah, Gabenor Syria pada masa itu sebaliknya mahu pembunuh Usman segera dihukum, barulah umat Islam dapat disatukan.

Pertelingkahan ini akhirnya membawa kepada Perang Jamal dan Perang Siffin, perang saudara yang terawal berlaku dalam Islam.

Kumpulan dari Parsi ini bersungguh- sungguh menyokong kumpulan Saidina Ali kerana putera baginda, Husain berkahwin dengan puteri Parsi, Syahr Banu.

Demikianlah dikatakan pertalian awal antara Syiah dengan pewaris empayar Parsi bermula.

Di negara ini, ajaran Syiah boleh diamalkan namun tidak boleh disebarkan. Bagaimanapun hakikatnya, ia sedang berkembang sehingga mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa dan kumpulan pendokong Ahl Sunnah Wal Jamaah yang sejak sekian lama menjadi anutan rakyat Malaysia.

Apa yang tidak kena dengan Syiah?

No comments:

Post a Comment

Anda memang mempunyai suara untuk memberi pandangan dengan tangungjawap anda sendiri.