Sunday, 23 September 2012

Hak Kebebasan Bersuara Menghina Nabi

KEBEBASAN bersuara dalam Islam ada batasan. ALLAH SWT menyebut dalam al-Quran, contohnya ketika menceritakan tentang pembahagian harta pusaka yang bermaksud, “Itulah batasanbatasan ALLAH, maka janganlah kamu melampauinya.” (surah Al-Baqarah, ayat 230)

Batas bersuara dan mengemukakan pandangan disebutkan oleh Nabi SAW dalam hadis maksudnya, “Sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim dari Abu Hurairah). Ini bermakna kita mempunyai batasan untuk bercakap, bukan bebas bercakap sesuka hati.

Adakah kita ingin kes pembikinan filem yang menghina Nabi berlaku dalam negara kita? Adakah kita ingin buku-buku yang menghina Nabi SAW ditulis dan disebarkan di dalam negara kita? Adakah kita ingin dalam negara kita orang bangkit dan mencerca Islam atau mana-mana agama secara terbuka?

Di peringkat antarabangsa jelas Islam tidak diberikan kebebasan. Mereka menuduh
umat Islam sebagai ekstremis, sedangkan yang mula membuka ruang untuk dicerca, diserang, adalah mereka sendiri. Sedangkan kalau di UK, contohnya tokoh yang banyak berbicara tentang perbandingan agama seperti Dr Zakir Naik tidak dibenarkan masuk ke dalam negara mereka. Dibandingkan dengan kebebasan beragama dalam negara kita amat baik, yang saya kira wallahua’lam tidak ditemui pada negara-negara lain.
Tokong Buddha terbesar ada di dalam negara kita, bakal gereja terbesar di Asia juga di dalam negara kita, iaitu di Selangor, tokong hindu terbesar juga ada di Selangor. Ini satu muhasabah. Walaupun kita tengok masjid masjid kita pun rasanya tidak ada sampai yang terbesar di Asia.

Saya kira kebebasan beragama dalam negara yang diberikan perlu disyukuri. Islam sendiri memberikan hurriyatul i’tiqad yakni kebebasan beragama, tetapi bukan kita menyeru kepada kebebasan beragama, kita menyeru kepada Islam, cuma kita membebaskan kaum bukan Islam untuk beramal dengan agama masing-masing. Kita ada perjanjian, asalkan mereka tidak melanggar perjanjian sesama kita agar tidak berlaku huru-hara dan kacau bilau.

Berkaitan isu penghinaan terhadap Nabi, ia bukanlah perkara baharu. Sejak hari pertama Nabi menyebarkan dakwahnya sudah ada hinaan dan cercaan terhadap peribadi Baginda. Saya suka membawakan di sini fatwa daripada seorang ulama senior yang disegani dunia, Syaikh Dr Soleh Fauzan al-Fauzan, katanya:

“Nasihat kami dalam hal ini adalah hendaknya kita tetap tenang dan tidak mengingkari hal ini dengan cara-cara yang keliru seperti melakukan demonstrasi, menzalimi orang-orang tidak memiliki keterkaitan dengan hal ini, atau sampai merosak harta benda orang lain. Ini adalah cara-cara yang tidak diperbolehkan. Yang wajib untuk membantah mereka sebenarnya para ulama, bukan orang awam. Para ulama yang berhak membantah dalam perkara-perkara ini. Hendaknya kita senantiasa tenang".

Orang-orang kafir sebenarnya ingin mengganggu dan memancing amarah kita. Mereka juga ingin agar kita saling membunuh. Pihak berkuasa keamanan berusaha mengawal situasi ini, sedangkan yang lain (para demonstran) berusaha menyerang, sehingga terjadilah pergaduhan, pembunuhan, dan banyak yang cedera.

Antara tindakan rasional dan waras yang perlu diambil, pertama sekali ialah bersabar dengan apa berlaku. Kedua, reda dengan ketetapan ALLAH. Ini ujian ALLAH SWT ke atas umat Islam. Kita tidak sama sekali reda dengan filem tersebut. Ketiga, berdoa kepada ALLAH agar umat Islam diberikan kekuatan dan kemuliaan. Kemudian kepada pihak yang memiliki ilmu dan autoriti, mulakan usaha menjelaskan kekeliruan dan salah faham yang dibuat terhadap ajaran Islam.

Kaki-kaki Facebook dan Twitter, daripada sibuk cuit dan ‘twit’ membongkar keaiban orang, membangkit isu kesalahan orang, elok digantikan dengan Twitter ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi SAW dan cerita tentang Nabi SAW. Buat mereka yang kurang arif dan tidak mampu berhujah secara ilmiah, membantahnya adalah dengan melahirkan perasaan benci. Kata Nabi SAW dalam hadis tentang benci, ertinya: “Sekuat-kuat tali ikatan iman adalah cinta sesuatu kerana ALLAH dan membenci sesuatu kerana ALLAH.” (riwayat Imam Ath-Thabarani) Oleh Fathul Bari sumber  Hina Nabi dan kebebasan bersuara

No comments:

Post a Comment

Anda memang mempunyai suara untuk memberi pandangan dengan tangungjawap anda sendiri.