Tuesday, 6 November 2012

Hujah Murtad Bukan Hak Asasi


Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. 

Perkara 11 Perlembagaan pula memperuntukan “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada fasal (4) mengembangkan ugamanya”. Daripada peruntukan ini jelas orang Islam berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, iaitu Islam sebagai cara hidup mereka. 

Fasal (4) menyebut undang-undang boleh dibuat untuk  mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa i’tiqad atau kepercayaan agama lain terhadap umat Islam.  Ini bermakna Islam di Malaysia bukan seperti Pancasila di Indonesia. Menurut prinsip Pancasila tiada satu agama pun berhak memonopoli kehidupan rakyat. 

Ia berbeza dengan Islam di Malaysia yang telah diberikan hak dan kedudukan istimewa oleh perlembagaan. Dalam pada itu Islam tidak pula menyekat hak kebebasan mengamalkan agama bagi penganut lain. Bagaimanapun itu tidak bermakna kebebasan tersebut adalah mutlak kerana ia masih tertakluk kepada Perkara 11 (4) iaitu supaya tidak menyebarkannya di kalangan umat Islam. 

Dalam bab lain, kebebasan hak asasi manusia juga dijamin oleh Perlembagaan di bawah Bahagian Dua. Namun ia tertakluk pula kepada syarat-syarat tertentu seperti ketenteraman awam, kesihatan awam dan moral yang merupakan hak ramai. Di peringkat antarabangsa, perjuangan menuntut hak asasi menjadi suatu agenda suci. 

Malah sudah menjadi lebih suci daripada kesucian agama anutan pendokongnya sendiri. Hak asasi manusia mulai mendapat tempat rasmi di arena antarabangsa melalui Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (PHAMS 1948). 

Perisytiharan tersebut dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang keahliannya terdiri daripada kebanyakan negara-negara merdeka di dunia. Antara komuniti dunia terkuat yang mendokong perjuangan hak asasi ialah masyarakat Eropah sehingga mereka telah memaktubkan Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi dan Kebebasan Asasi 1950 yang mempunyai kuasa mengikat dari segi undang-undang terhadap negara anggota Komuniti Eropah.  

Keghairahan dunia Barat dalam memperjuangkan hak asasi menyebabkan mereka lupa bahawa di sana ada hak yang dicabuli. Umat Islam adalah antaranya. Beberapa perkara di dalam PHAMS 1948 ditolak oleh umat Islam kerana hak asasi mereka untuk mengamalkan agama digugat. Antaranya Perkara 16 (1) yang berbunyi, “Men and women of full age, without any limitation due to race, nationality or religion, have the right to marry and to found a family. They are entitled to equal rights as to marriage, during marriage and at its dissolution”. 

Bagi penganut Islam perkara ini sudah tentu bertentangan dengan syariat Islam yang telah menentukan hukumhakam berkaitan perkahwinan. Begitu juga Perkara 18 berbunyi, “Everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion or belief, and freedom, either alone or in community with others and in public or private, to manifest his religion or belief in teaching, practice, worship and observance”


Bagi Islam, Perkara 18 tidak boleh diterima kerana telah mencabuli hak asasi umat Islam dalam beragama. Islam menetapkan tujuan (maqsad) syariah yang pertama ,,iaitu memelihara agama. Sekiranya umat Islam dibenarkan keluar dan masuk agama sesuka hati, ini bermakna hak umat Islam untuk memelihara  agamanya telah dicabuli. 

Hukum Islam juga menetapkan bahawa keluar agama atau murtad merupakan suatu jenayah berat yang perlu diadili dan dihukum. Ini kerana,perbuatan keluar agama melibatkan kepentingan umum iaitu maruah  agama dan umat Islam sendiri. 

Ia bukan sekadar hak individu. Jangan pula ada pihak yang mendakwa Islam telah menyanggah hak kebebasan individu untuk memilih agama. Bukankah PHAMS 1948 itu juga diasaskan atas dasar menjaga kepentingan umum melebihi hak individu? 

Jika hak individu dibiarkan bermaharajalela, apa gunanya lagi kerajaan-kerajaan di dunia menggubal undangundang. Bukankah undang-undang itu dibentuk untuk menyekat kebebasan individu yang ditafsirkan oleh undang-undang sebagai salah? 

Malah terdapat satu klausa khas di dalam PHAMS 1948 iaitu Perkara 29  yang menyebut bahawa, “setiap orang tertakluk hanya kepada batasan seperti yang ditentukan oleh undang-undang semata-mata bagi tujuan menjamin pengiktirafan dan penghormatan yang sepatutnya terhadap hak-hak dan kebebasan orang lain dan untuk mendekati keperluan-keperluan sepatutnya bagi akhlak, ketenteraman awam dan kebajikan 
umum dalam suatu masyarakat yang demokratik”. 

Begitu juga Islam. Perundangan Islam telah menetapkan  bahawa murtad adalah suatu kesalahan dan ia tidak boleh disenaraikan di bawah hak asasi individu! Ia adalah soal doktrin agama yang suci. Tidakkah penganut agama lain juga akan tersinggung apabila terdapat di kalangan mereka yang  melanggar kepercayaan agama sendiri?


Fenomena ini tidak sukar sekiranya semua pihak sama ada umat Islam atau bukan Islam saling memahami antara satu sama lain. Jika tidak, mereka akan saling menyalahkan agama lain atas dasar melanggar prinsip hak asasi manusia. 

Dalam konteks Malaysia, Seksyen 4(4), Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 
1999 (Akta 597), memperuntukkan bahawa rujukan harus dibuat kepada PHAMS 1948  setakat yang tidak berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan. 

Oleh itu, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menentukan bahawa Islam ialah agama bagi persekutuan, disokong pula dengan Perkara 121(1A) yang menyebut, “Mahkamah-mahkamah yang disebutkan dalam Fasal (1) –mahkamah Sivil- tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah”, haruslah dihormati dan difahami oleh semua pihak.  

Justeru itu amat menghairankan apabila masih kelihatan individu atau pertubuhan yang mendesak supaya diberi kebebasan untuk keluar daripada Islam kononnya ia diberi kebebasan oleh Perlembagaan Negara. Sedangkan mereka telah memahami bahawa ‘murtad’ adalah satu kesalahan jenayah menurut  syariat Islam. 
Sememangnya menurut 

Perkara 18, PHAMS 1948  menetapkan bahawa manusia bebas memilih dan menukar agamanya pada bila-bila masa. Bagaimanapun ini bercanggah dengan syariat Islam yang telah diberi kedudukan istimewa oleh perlembagaan. Bagi Islam soal pemeliharaan agama amat penting bagi menjamin keharmonian negara dan masyarakat. Orang yang meninggalkan Islam dianggap meruntuhkan negara dan masyarakat Islam secara kolektif.


Seperkara lagi yang perlu difahami, tidak timbul isu pelanggaran hak asasi sekiranya hukuman Islam dikenakan terhadap orang Islam yang murtad. Ini kerana perilaku murtad yang dikenakan hukuman hanyalah murtad yang diisytiharkan dan diketahui oleh khalayak. 

Menurut al-Buti andaikata kemurtadannya didiamkan atau tidak didedahkan kepada orang lain, maka hukuman di dunia  tidak boleh dikenakan kerana kaedah umum yang diamalkan oleh pemerintah Islam ialah bertindak berdasarkan pandangan zahir, manakala urusan batin diserahkan kepada Allah SWT yang akan membalasnya di akhirat kelak. (al-Buti, Sa`id Ramadhan, Dr. (2004), Hurriyah al-Insan fi Zill `Ubudiyyah Li-Allah. Damsyik: Dar al-Fikr, hal. 85)  

Hal seperti ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana fenomena fenomena murtad boleh berlaku bukan sahaja dalam bentuk lazim difahami orang seperti seseorang menganggap Islam yang dianutinya sudah tidak diyakininya lagi. 

Malah ia juga berlaku dalam pelbagai bentuk lain seperti yang disebut oleh pemikirpemikir Islam. Antaranya muslim yang memberikan hak penentuan hukum (alhakimiyyah) dan perundangan kepada selain Allah. Membenci sesuatu sistem yang ada dalam Islam. Melihat hukum-hukum ciptaan manusia sebagai yang terbaik dan hukum-hukum syariat sebagai ketinggalan zaman. 

Melebihkan sistem yang lain keatasnya atau menyamakannya. Mempersendakan sesuatu yang datang daripada alQur‘an dan al-Sunnah, atau syiar Islam. Mencela keperibadian Rasulullah SAW. Menghalalkan apa yang diharamkan Allah SWT atau sebaliknya dan lain-lain lagi (`Ulwan, `Abdullah Nasih, Dr.(1988), Hurriyah al-I`tiqad fi al-Syari`ah al-Islamiyyah. Kaherah: Dar al-Salam, hal. 78-95; Ahmad Rasyad, Dr. (1998), Hurriyah al-`Aqidah fi al-Syari`ah al-Islamiyyah. Kaherah: Itrak li al-Nasyr al-Tawzi`, hal. 334-339) 


Bila mana kemurtadannya diwar-warkan kepada orang ramai dan diiklankan kepercayaan barunya kepada khalayak, ia sekaligus telah mengisytiharkan serangan berbentuk pemikiran (al-harb al-fikriyyah) ke atas Islam dan aqidahnya. Tindakan tersebut boleh menimbulkan atau menanam bibit keraguan dalam hati orang ramai yang masih menganut Islam. 

Ketika ini, tindakan murtad perlu dilihat bukan dari segi hak peribadinya untuk menukar agama, tetapi dari aspek  adanya unsur “hirabah’’, iaitu serangan terhadap dasar-dasar agama yang menjadi tonggak utama kerajaan Islam. Lantaran itu, langkah-langkah perlu diambil bermula dari proses memberi penjelasan bagi merungkai keraguannya, meminta supaya  bertaubat dan berakhir dengan pelaksanaan hukuman bunuh atas dasar “hirabah’’ (al-qatlu hirabatan) sekiranya ia tetap berdegil mempertahankan pendiriannya untuk murtad. Ertinya murtad dibunuh bukan atas kekufuranya, tetapi atas dasar hirabah.  (al-Buti, 2004: 85-87).  

Ini jelas berdasarkan ayat 33 surah al-Ma‘idah bermaksud:  “Sesungguhnya balasan bagi orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan  melakukan fasad (kerosakan) di muka bumi ialah sama ada dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kakinya secara bersilang atau dibuang negeri...”. Walaupun ayat ini difahami oleh kebanyakan ulama sebagai ayat untuk menghukum penjenayah rompak dan samun, tetapi tidak dinafikan bahawa perbuatan murtad secara terang-terangan adalah salah satu daripada perbuatan memerangi Allah dan Rasul-Nya. 

Maka terdapat ulama Salaf  yang berpendapat hukum bunuh si murtad  itu juga diambil daripada ayat ini, 
selain hadith-hadith sahih lain yang bertindak sebagai penghurai. Antara yang berkata demikian ialah Abu Qilabah dan lain-lain. (Lihat Ibn Rajab al-Hanbali, Jamial-`Ulum wa al-Hikam, hal. 32; juga Dr. Yusuf al-Qaradawi (1993),  Malamih alMujtama` al-Muslim Allazi Nansyuduhu, Kaherah: Maktabah Wahbah, hal. 41) 


Bagaimanapun, mutakhir ini terdapat pula kes-kes murtad yang berpunca daripada perceraian, kejahilan dan lain-lain yang dikatakan bersifat peribadi. Antara yang menggemparkan negara iaitu apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang pada 8 Mei 2008 yang membenarkan seorang mualaf iaitu Siti Fatimah Tan Abdullah keluar daripada Islam. 

Siti Fatimah mendakwa dia memeluk Islam hanya untuk berkahwin dengan seorang rakyat Iran bernama Ferdoun Ashanian. Namun dia tidak pernah sekali-kali mengamalkan ajaran Islam malah masih mengekalkan amalan agama asalnya, Buddha. Peguam bela Siti Fatimah, Ustaz Ahmad Jailani menyifatkan permohonan yang dibuat oleh Siti Fatimah itu, bukan permohonan keluar Islam, tetapi permohonan dalam menentukan status agamanya, adakah Islam atau tidak. 

Walau apapun hujah yang diputuskan oleh mahkamah, kita tetap menghormati keputusan tersebut atas dasar menjunjung prinsip keadilan. Namun persoalan tetap timbul di kalangan bukan Islam, adakah Islam pada hari ini telah mengiktiraf murtad sebagai satu kebebasan hak asasi manusia? 

Dalam hal ini, ada baiknya kita merujukkan kes ini, dengan apa yang berlaku di Mesir baru-baru ini. Senarionya tidak jauh berbeza. Ia berlaku apabila badan kehakiman Mesir telah meminta fatwa daripada Universiti al-Azhar berkenaan permohonan bekas penganut Kristian Koptik yang masuk Islam hanya untuk kepentingan peribadi, seperti ingin berkahwin buat kali kedua atau menceraikan isteri (yang mana ditegah menurut agama mereka), dan setelah tujuannya tercapai ia murtad dan kembali ke agama asal. 


Justeru itu, Universiti al-Azhar melalui Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar, Syeikh Abdul Hamid al-Athrash telahmengeluarkan fatwa rasmi bahawa orang bukan Islam yang memeluk Islam untuk kepentingan peribadi, lalu ia murtad setelah kepentingannya tercapai, telah melakukan suatu jenayah besar, yang tidak boleh dibiarkan. Sesiapa yang murtad, maka wajib baginya menerima  hukuman syar’i, sesuai dengan batasbatas yang ditetapkan jumhur ulama, setelah yang berkenaan diminta bertaubat. 

Jika ada yang mengatakan bahawa hal ini bertentangan dengan ‘prinsip kebebasan beragama’, maka pandangan itu tertolak, kerana Islam tidak memaksa sesiapa jua untuk memeluk agama ini.  Syeikh al-Athrash juga memperingatkan bagi sesiapa yang  berkeinginan untuk memeluk Islam, dia perlu mempelajari Islam dengan baik  dan memiliki tekad yang kuat, kerana setelah menjadi muslim, dia tidak lagi dibenarkan murtad. 

Fatwa ini juga secara tidak langsung menunjukkan Syeikh al-Azhar telah menarik kembali kenyataannya yang mengatakan tiada hukuman bagi bukan Islam yang masuk Islam lalu murtad kembali. Fatwa Syeikh al-Azhar itu dikaitkan dengan tekanan-tekanan yang diterima beliau ekoran desakan daripada pertubuhan-pertubuhan sivil serta para aktivis hak asasi manusia. 

Ini sekaligus menunjukkan bahawa al-Azhar tidak pernah sekali-kali mengorbankan hukum syarak atas apa jua alasan yang diberikan. http://www.alarabiya.net/articles/2008/01/19/44427.html 

Fatwa al-Azhar ini jelas menunjukkan bahawa para ulama Islam sentiasa konsisten mengatakan bahawa murtad adalah satu jenayah dan si murtad wajib dihukum. Walaupun fatwa tersebut tidak menyebut bentuk hukumannya, apa yang pasti hukuman perlu dikenakan ke atas orang murtad yang memeluk Islam dengan rela hati tanpa sebarang paksaan. Tidak timbul soal mencabuli kebebasan beragama kerana Islam tidak pernah memaksa seseorang memeluk agama  ini. Oleh itu, kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang tidak boleh dijadikan asas kononnya Islam membenarkan murtad. Atau Islam telah  mengiktiraf murtad sebagai hak asasi bagi penganutnya.

Ini sebagaimana yang didakwa oleh beberapa pemimpin politik bukan Islam di negara ini sejurus keputusan dibuat oleh mahkamah. Sedangkan alasan mahkamah membenarkan pemohon keluar Islam ialah kerana pemohon didapati tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sejak memeluknya pada tahun 1999. Bermakna, bukan atas alasan hak asasi pemohon. 


Kesimpulannya, Islam ialah suatu agama yang amat realistik. Islam mengiktiraf kebebasan hak asasi manusia tetapi Islam melihatnya dalam ruang lingkup manusia sebagai hamba kepada Yang Maha Pencipta, Allah SWT. Islam mengenali apakah batas-batas kemanusiaan itu. Apa jua yang menepati sifat-sifat kemanusiaan, Islam tidak pernah menafikannya bahkan diperintahkan oleh Islam walaupun tidak diperundangkan sebagai hak asasi. 

Manakala apa jua yang diluar batas-batas kemanusiaan maka ianya ditegah bahkan diharamkan oleh Islam walaupun pejuang hak asasi mendakwa ia suatu pencabulan terhadap kebebasan manusia. Sebaliknya perjuangan hak asasi rekaan Barat merupakan sesuatu yang relatif. Malah ia hanya menjadi kuda tunggangan golongan sekular dan liberalisme agama di sana.  

Oleh kerana itu, Islam tidak sekali-kali dapat menerima kefahaman hak asasi berasaskan  world-view Barat. Sesungguhnya hak asasi tidak pernah suci, tetapi manusia yang mendakwa ianya suci. Adapun agama, ia adalah wahyu yang diturunkan oleh Yang Maha Berkuasa bagi membimbing hidup manusia. Hampir kesemua agama mengakui hakikat itu. 

Walaupun agama tidak  diagung dan disucikan oleh manusia, agama tetap suci pada esensinya sendiri. Lantaran itu, menjadi hak buat umat Islam untuk mempertahankan kesucian agamanya. Kesucian Islam bakal tercemar dengan perbuatan jenayah penganutnya. Murtad adalah antara jenayah terbesar menurut Islam. Dengan itu murtad bukan hak asasi, ia diharamkan oleh Islam malah si murtad yang tidak bertaubat tetap wajib dihukum.

MURTAD BUKAN HAK ASASI 
Mohd Aizam Mas’od 
Caw. Aqidah 
Bah. Penyelidikan JAKIM 
Malaysia adalah sebuah Negara Islam. 








No comments:

Post a Comment

Anda memang mempunyai suara untuk memberi pandangan dengan tangungjawap anda sendiri.