Saturday, 24 November 2012

Muhyiddin Yassin Luahkan Perhimpunan Agung UMNO Yang Terakhir Buat UMNO

Sejauh manakah ahli-ahli UMNO memahami kepentingan perhimpunan agung kali ini?

MUHYIDDIN: Perhimpunan yang kita akan adakan pada minggu depan ini, saya anggap mungkin yang terakhir sebelum kita menghadapi pilihan raya. Jadi fokus utama tentu bagaimana perwakilan membahaskan perkara-perkara yang tentunya ada hubung kait tentang pilihan raya. Tentunya ia untuk meningkatkan tumpuan dan perhatian setiap peringkat ahli terhadap pentingnya pilihan raya yang kita hadapi.

Di samping itu, kita juga mahu mengambil kesempatan untuk condition pemikiran pemimpin parti di semua peringkat tentang cabaran besar yang kita akan hadapi dalam pilihan raya ini. Kini umum sudah menyedari senario suasana politik, keadaan yang kita hadapi, cabaran-cabaran yang kita hadapi, perlakuan pihak pembangkang dan isu-isu yang berbangkit sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sejak Pilihan Raya Umum 2008.

Kesemuanya memerlukan kita bukan setakat memahami, tetapi dalam beberapa peringkat menanganinya supaya hasil outcome daripada perhimpunan agung inilah, semangat yang lebih tinggi untuk terus berjuang bagi mempertahankan kedudukan parti sebagai kuasa dalam kerajaan.

Kalau boleh kita perkukuhkan kedudukan kita selepas pilihan raya. Pastinya penting untuk kita mencapai kemenangan yang lebih cemerlang. Meraih sokongan yang lebih besar dari segi pengundi popular dan di samping itu, negeri-negeri dulu yang kita kalah dalam pilihan raya 2008, kemungkinan dapat kita tebus kembali kekalahan itu. Bermakna perhimpunan agung ini mempunyai signifikan yang agak besar sekali.

Kita berharap walaupun kita tahu dalam UMNO pun ada isu-isu tertentu, tetapi fokus paling utama - bagaimana kita hendak siapsiagakan setiap ahli UMN0 termasuklah di peringkat akar umbi yang bertanggungjawab untuk meraih sokongan setiap pengundi itu benar-benar mememahami tugas dan tanggungjawabnya.

Apakah harapan Tan Sri agar semangat ahli-ahli UMNO tidak berakhir di PWTC sahaja selepas selesai perhimpunan?

Itulah sebabnya mungkin tempoh pilihan raya yang mendatang ini tidak lama lagi. Saya kurang pasti bila, tetapi pastinya tidak akan lebih panjang daripada apa yang dijangka kali ini kerana tempoh kita memegang kuasa dalam kerajaan akan berakhir. Kalau tidak silap saya pada Mac atau April tahun depan.

Jadi sebab itu yang penting bila mereka meninggalkan Dewan Merdeka, akan tertanam dalam jiwa kesedaran tentang cabaran besar, amanah yang harus mereka pikul untuk menentukan mandat atau amanat Presiden itu dapat dilaksanakan dan yang juga penting menekankan aspek perpaduan dalaman parti yang perlu kita perkukuhkan.

Pernah pun saya sebut kepada mereka di setiap peringkat, di mana saya melawat di setiap negeri berjumpa dengan pemimpin di setiap peringkat parti, baik UMNO atau parti komponen Barisan Nasional (BN). Yang pertamanya, saya sebutkan soal kita hendak mengelakkan masalah dan isu dalaman. Kita sedar di sesetengah tempat masalah itu ada.

Saya sudah mengingatkan mereka supaya mencari jalan untuk selesaikan masalah itu. Dan kita tidak mahu ini menjadi satu halangan atau kekangan yang boleh menyebabkan kita gagal atau pun kita tidak dapat meraih sokongan besar kerana antara ahli-ahli itu masih mempunyai masalah sesama mereka.

Saya lihat di peringkat mutakhir ini, kesedarannya sudah ada. Di pertemuan yang saya adakan dengan beberapa bahagian terpilih yang saya kenal pasti memerlukan tumpuan lebih, nampaknya mereka berjanji - kali ini mereka akan menumpukan kepada soal kemenangan parti. Kalaupun ada perbezaan sesama sendiri, itu agak biasa, tapi jangan satu benteng yang menghalang daripada kita mencapai matlamat dalam pilihan raya.

Tan Sri menyebut mengenai meraih sokongan, apa pula pendekatan yang perlu dilakukan ahli di peringkat akar umbi untuk mendekati pengundi bagi meraih sokongan supaya BN mencapai kemenangan besar?

Ini kita telah mulakan, bukan baru dan hampir dua tahun dari tarikh (pilihan raya lalu). Ramai pihak telah berbincang pasal persiapan pilihan raya. Semua peringkat sudah kita sebutkan - penting kepada mereka untuk mendekati pengundi. Saya sebutkan pengundi adalah raja dan mereka yang menentukan nasib kita sama ada terus kekal sebagai sebuah kerajaan atau sebaliknya.

Perlu kita ketengahkan beberapa isu berkaitan persepsi yang ada dalam benak atau pemikiran pengundi tentang apakah BN dan UMNO adalah benar-benar parti yang berjuang membela nasib mereka.

Kerana tempoh yang mutakhir, dengan sebab-sebab perbuatan pihak pembangkang, mereka mahu spin perkara-perkara yang kita buat dengan fitnah dan tohmahan mereka.

Maka perkara baik seolah-olah dilihat tidak baik. Inisiatif kita untuk menyelesaikan masalah rakyat dilihat sebagai tidak memberi keuntungan kepada orang Melayu sebagai contoh atau orang Cina sebagai contoh. Jadi hal-hal sebegini perlu kita lihat dengan lebih teliti. Jadi yang penting adalah supaya mereka tahu siapa pengundi itu. Ini seolah-olah dalam satu peperangan. Dalam peperangan, kita mesti tahu musuh kita. Kita tidak boleh berperang dalam gelap, tembak tidak tentu hala, peluru habis tetapi tidak menang dalam perjuangan.

Jadi dia mesti tahu ke mana dia harus tuju. Jadi sebab itu di peringkat ini, kita suruh mereka kenal pasti apakah masalah yang dihadapi di peringkat kawasan mereka dan jelaskan dasar kepimpinan kita.

Perdana Menteri memberi pelbagai bentuk bantuan dan sokongan seperti mana yang terkandung dalam belanjawan negara. Sejak tahun ini dan akan datang, dalam Bantuan Rakyat 1Malaysia, kesemuanya ada politikal impak dan ia harus diterjemahkan dalam bentuk yang boleh memberi keuntungan kepada kita.

Tapi kalau kita tidak terlibat bersama, kita hanya serah kepada satu pihak melibatkan pegawai sahaja, dan ahli-ahli parti memandang dari tepi sahaja, seolah-olah mereka tidak terlibat sama. Mereka tidak dapat apa-apa faedah.

Apa lagi dalam bantuan-bantuan yang parti sendiri berikan.

Perlu sampaikan isu-isu kebajikan, isu-isu bantuan dan pertolongan yang diperlukan malahan kerja-kerja mudah ziarah orang sakit untuk bertanya khabar supaya kita dilihat mesra rakyat dan kita dilihat memang kita prihatin. UMNO prihatin, BN prihatin.

Saya lihat dalam tempoh setahun dua lepas, langkah-langkah sebegini telah kita laksanakan secara agak meluas.

Pergerakan Wanita UMNO bergerak begitu, Pemuda bergerak begitu, komponen parti yang agak lambat sedikit pun tetapi sekarang mereka telah bergerak semula agak lebih daripada masa-masa lalu.

Atas dasar itu saya yakin kita boleh dapat sokongan yang agak lebih baik.

Imej UMNO semakin positif bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu tetapi juga orang bukan Melayu? Apa komen Tan Sri.

Ya, saya kira begitu kerana walaupun kita menghadapi masalah persepsi pada awal-awal selepas pilihan raya 2008, seolah-olah UMNO dilihat tidak lagi berjuang untuk membela nasib orang Melayu, UMNO mengabaikan tanggungjawab, UMNO tidak prihatin, wakil-wakil rakyat UMNO leka. Kita sedar dan kita sudah buat post mortem dan analisis. Sebab itu, hal ini kita sudah sebutkan kepada pemimpin UMNO, inilah persepsi rakyat, mereka jangan abaikan, kamu tunjukkan bahawa UMNO hari ini sudah berubah.

UMNO tidak seperti dahulu. BN pun lebih walaupun namanya BN, sama sahaja tapi dalam minda pemimpin BN, dalam tindakan pemimpin BN dan pemimpin UMNO, kita sudah faham dan tahu, dan kita harus melaksanakan perkara-perkara yang dikehendaki dan mahu dilihat oleh rakyat sesuatu yang agak berkesan.

Ini saya fikir sudah berlaku. Walaupun dikatakan belum menyeluruh tetapi jauh berbeza kalau dibandingkan dengan sebelum ini. Pasal kita biasa bangkitkan soal sebegitu, saya beritahu jangan ambil mudah.

Hal sebegini tidak seperti dulu, harapan pengundi dan ahli-ahli kita tidak seperti zaman-zaman lalu. Mereka lebih tahu hak mereka, mereka lebih berpengetahuan, terutama pengundi-pengundi muda mereka terdidik, mereka savvy dengan sosial media. Hal-hal sebegini kita harus kita ambil kira. Jadi, profil pemilih itu kita perlu kenal pasti supaya apa yang kita lakukan memenuhi kehendak dan tujuan sebenar.

Jadi, akhirnya ia dapat meningkatkan imej parti kita. Saya fikir sekarang ini, ramai orang Melayu sudah sedar walaupun sesetengah negeri yang kita kalah dahulu mengatakan kita ada sedikit kelemahan tetapi kita sudah cuba perbaiki.

Jadi sudah ada keyakinan baru yang UMNO sebuah parti yang lebih berupaya berbanding dengan Pas, PKR, dan kalau mereka lihat apa yang parti pembangkang ini buat di negeri mereka kuasai tidaklah sehebat manapun. Mungkin gendangnya agak lebih kuat, tetapi isinya tidak ada.

Mereka janji macam-macam tapi sebenarnya mereka tidak lakukan dan laksanakan. Mereka lebih berpolitik daripada bekerja.

Mereka tidak dapat selesaikan masalah seperti di Selangor, di Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang. Semua negeri menghadapi masalah. Yang mana ia membuka minda dan pemikiran orang Melayu dan bukan Melayu bahawa walaupun UMNO dan BN ada kelemahan tetapi kita pengalaman. Kita bersedia membuat perubahan dan kita turun ke bawah secara literal, menghadapi rakyat setiap masa, setiap hari ini.

Yang ini saya fikir sudah membawa keyakinan baru terhadap UMNO, lebih-lebih lagi di bawah pimpinan Perdana Menteri sendiri.

Pembangkang khususnya Pas, mereka terus melakukan serangan ke atas UMNO. Tidakkah Tan Sri melihat ini boleh menjatuhkan sokongan kepada UMNO?

Tidak. Mengapa mereka menyerang UMNO? Ini sudah tentu kerana mereka merasakan sokongan orang Melayu terhadap mereka sudah merosot. Lebih-lebih lagi orang Melayu (Islam) menilai tentang apakah politik Pas sebenarnya, politik opportunis, guna Islam untuk tujuan politik, menghebah konon mempunyai ideologi dan pendirian yang selama ini berjuang atas landasan Islam, negara Islam dan sebagainya.

Mereka sudah mengkompromi hal sebegini sebab mereka terpaksa bersekongkol dengan DAP. Terang-terangan DAP menyerang banyak perkara-perkara yang hendak diusulkan dan dilaksanakan Pas. Contoh, bagaimana Hassan Ali bercerita, mereka tidak bersetuju pelaksanaan undang-undang Islam.

Mereka melihat secara serong. Ini menyebabkan mungkin Pas terlalu ghairah untuk mendapat sokongan politik. Pas lupa bahawa orang Melayu pun tahu. Jadi akhirnya Pas rasa sokongan itu sudah mula beralih. Saya yakin dalam kalangan ahli Pas sendiri, mereka rasa kecewa juga dengan perbuatan pemimpin-pemimpin mereka.

Kita membaca pendapat yang dikeluarkan ramai tokoh mereka. Tidak semua selari dengan Mursyidul Am (Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan tidak semua selari dengan Abdul Hadi Awang dan ramai juga yang membuat kritikan tentang apa yang dilakukan oleh pucuk pimpinan. Ramai juga tidak bersetuju dengan Mursyidul Am punya kenyataan.

Tapi Nik Aziz ini macam dah begitu keadaannya, dia tidak boleh buat apa-apa. Jadi peranan media dalam soal ini dapat menjelaskan lagi. Mereka terus menyerang kita tetapi kita tidak duduk diam pada serangan itu.

Kita juga jelaskan kepada orang Melayu bahawa perjuangan UMNO adalah perjuangan Islam yang sebenarnya. Apa yang UMNO lakukan untuk membangunkan negara tidak bercanggah dengan Islam. Apa yang diperjuangkan oleh UMNO dari segi menegakkan syiar Islam sudah berhasil. Kejayaan kita dalam membangunkan umat Islam dalam semua bidang, sesuatu yang tidak boleh dinafikan.

Jadi, ini kita perlu teruskan, kita tidak harus defensif tentang apa yang dibuat oleh Pas walaupun mereka akan menghujani kita (UMNO) dengan pelbagai tohmahan, macam yang berlaku dalam muktamar Pas yang terakhir sampai mendoakan untuk menjahanamkan kita orang Islam dalam UMNO dan sebagainya. Memang sesuatu amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Nampak benar, dia (Pas) sudah nampak lebih ekstrem. Dulu pun mereka ekstrem tetapi hari ini lebih ekstrem lagi kerana mereka rasa tergugat, mereka rasa tercabar. Jadi mereka bertindak desperado daripada biasa. Orang Melayu melihat Pas lebih ekstrem sekarang. Pasal dia terpaksa berkompromi perjuangan mereka dengan parti-parti dalam pakatan pembangkang.

Hakikatnya parti pembangkang sebenarnya tidak kuat tetapi masalah dalaman UMNO sendiri yang memungkinkan mereka berjaya dalam PRU-13 nanti. Apa pandangan Tan Sri?

Yang itu juga kita menganalisis selepas Pilihan Raya Umum 2008, apakah sebab kita kalah di negeri-negeri seperti Kedah, Selangor atau tempat-tempat lain. Antara faktornya adalah kerana masalah dalaman. Ada sabotaj, tidak bersedia bekerja bersungguh-sungguh, tidak bersetuju dengan calon, atau pun tidak dilantik menjadi calon.

Ini puak-puak yang tidak mendapat habuan sebegitu mengambil langkah-langkah yang membawa kesan buruk kepada parti. Itu kita sedari, sebab itu di peringkat akhir ini kita sebut balik. Jangan sabotaj parti. Pasal pihak pembangkang memang tidak kuat, serupa sahaja, dulu sekarang sama, malahan agak lebih teruk.

Tetapi, jika masalah dalaman kita dapat atasi atau kurangkan, maka peluang kita lebih cerah lagi. Macam di Kedah bagaimana saya lihat kerusi Dewan Undangan Negeri, tiga kerusi kita menang, satu kawasan yang sama (Parlimen) kita kalah. Maknanya pengundi yang mengundi di peringkat DUN tidak mengundi UMNO di peringkat Parlimen atau sebaliknya. Jadi kita analisis balik, mengapa ada ahli-ahli UMNO yang tidak keluar mengundi pada hari itu.

Kita kalah dengan 300 undi. Yang tidak keluar mengundi 1,000 orang contoh. Apa sebab mereka duduk di rumah kerana tidak mahu memberi undi kepada calon UMNO dan BN tertentu. Jadi ini kita sudah kaji. Bila saya jumpa mereka, saya jelaskan kepada mereka dan mereka mengakui. Jadi jangan buat lagi.

Jika mereka buat lagi, bukan kerana soal Pas di Kedah itu kuat. Sampai hari ini juga Pas tunggang-langgang di Kedah. Tapi pasal UMNO berbalah. Jadi mereka kata sudah sedar. Maka saya hendak lihatlah dalam pilihan raya, betul-betul kesedaran itu ada, kita dapat tebus balik Kedah sebagai contoh.

Apakah perubahan yang dilakukan UMNO dan BN sudah cukup bagi menebus semula kekecewaan pada pilihan raya 2008?

Saya fikir sudah ada. Mungkin bagi sesetengah pihak yang sinikal kata sama saja. Tapi ialah UMNO sama saja, muka sama tapi tindakan yang mereka ambil, kerja keras yang mereka sudah buat. Saya lihat dalam sejarah saya dalam politik, memang setiap kali ada pilihan raya, jentera UMNO sudah bekerja tapi kali ini mereka sudah bekerja lebih awal. Sudah bersiap sedia lebih awal.

Pasal tempoh masa yang dijadualkan pilihan raya itu belum sampai, jadi macam persiapan yang lebih rapi berbanding dahulu dibuat, dan dari segi minda juga mereka sudah bersedia, dari segi jentera juga mereka sudah bersedia.

Jadi bila sebut adakah ada perubahan, perubahan itu dilihat dalam bentuk macam gerak kerja, turun sampai di peringkat akar umbi, berjumpa dengan pengundi.

Bantuan-bantuan yang kita sampaikan. Sebab itu bukan sahaja pengundi Melayu tapi pengundi Cina dan India sudah melihat kembali dan mereka nampaknya bersedia untuk memberi sokongan dalam pilihan raya akan datang.

Akhir sekali apa mesej Tan Sri kepada perwakilan UMNO kali ini?

Mesejnya ialah kita mesti bersedia lebih daripada biasa dari segi minda, tenaga. Kita kena faham bahawa pilihan raya ini bukan sahaja penting tetapi lebih penting kerana puak di sana itu orang kata kemaruk kuasa. Dah sampai terdesak, sebab itu dipanggil kumpulan-kumpulan desperado.

Dan sudah terbayang dah kerusi Perdana Menteri itu. Sebab itu di luar sana mereka berbicara siapa yang lebih layak. Bagi saya tidak guna nak komen sebab saya yakin BN akan balik semula dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan kekal. Insya-Allah. Jadi mereka sudah kemaruk. Kemaruk gila kuasa sebab itu dia menghalalkan banyak benda yang haram, menghalalkan cara-caranya.

Dan saya tahu mereka akan gunakan pelbagai taktik, cara sumpah-seranah dan tohmahan. Pasal itu mereka mempertikaikan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), bangkitkan isu senarai pengundi yang tidak betul, macam-macam lagilah. Ini kononnya untuk condition minda rakyat bahawa kalau BN menang, menangnya BN itu kerana penipuan.

Saya jangkakan begitu, tapi bila dia menang, dia kata tidak tipu. Maknanya, apa yang kita hadapi adalah suatu pertembungan yang agak hebat. Jadi, kita menghadapi pilihan raya bukan seperti biasa, baik minda, baik tenaga, baik gerak kerja. Agresifnya mereka, maka kita harus lebih agresif daripada mereka. Jika mereka tunjuk berani, kita mesti lebih berani daripada mereka. Pasal ini sebagai satu peperangan dari segi strategi dan berbagai-bagai lagi.

Saya fikir begitu, jadi jika ini dapat difahamkan oleh ahli-ahli UMNO, bila kita hadapi pilihan raya bukan seperti biasa, maka dia harus bersedia dari sekarang (condition demand). Kerana kalau kita dah bekerja dah berjaya, saya percaya pihak pembangkang akan mencabar. Semua keputusan pilihan raya dibuat penipuan dan sebagainya. Sebab itu, mereka main psikologi untuk menakutkan (pengundi).

Dia nak psiko pemikiran rakyat, (dengan dakwaan) mereka sudah bersedia hendak ambil alih dan menumbangkan kerajaan. Sebagai pemimpin UMNO, tak akan kita hendak dengar dan diam saja. Kita tahu Anwar Ibrahim sudah kempen. Dia naik kapal terbang, DAP pergi dengan bas, pergi satu pelosok ke satu pelosok, satu pelosok. Dia dah buat dan sudah atur strategi, kita tahu.

Yang penting, apa yang kita harus buat bagi menghadapi tentangan hebat dalam pilihan raya ini. Saya harap mesej ini akan sampai kepada ahli-ahli UMNO dan bila pulang nanti jangan rileks. Tiada masa untuk istirehat, kita harus bangkit sepanjang masa, sampai masa tugas kita selesai selepas pilihan raya.


Nota: Inilah Perhimpunan Agung UMNO Yang Terakhir Buat UMNO sebelum menuju PRU 13 dan pergunakanlah demi memperkukuhkan di setiap sudut menuju medan perang demi mempertahankan Agama Bangsa Negara Pecah Palak Mikir

No comments:

Post a Comment

Anda memang mempunyai suara untuk memberi pandangan dengan tangungjawap anda sendiri.