BARU-BARU ini semasa membukaFacebook, saya terpaku memandang satu pelawaan daripada rakan-rakan untuk menderma bagi projek pembinaan lebuh raya baru di Kelantan.
Katanya “ Kerajaan pusat selama ini dok zalim dan anak tirikan kita maka ayuh kita buktikan, tanpa bantuan kerajaan pusat pun kita tetap boleh bina lebuh raya untuk balik. Sambil menderma, sambil mendapat pahala”.
Begitulah lebih kurang ayatnya yang tertera dalam posting salah seorang kenalan. Sungguh keras dan berkeyakinan bunyinya. Saya tidak terkejut kerana itulah sifat dan kelebihan orang Kelantan. Jati diri mereka kuat dan utuh.
Makin ditekan, maka mereka akan makin kuat untuk bangkit, semacam Hulk Hogan seorang ahli gusti WWF yang terkemuka suatu ketika dahulu. Cumanya sayang, ia dizahirkan melalui manifestasi politik kepartian.
Kenyataan rakan saya itu adalah rentetan daripada kenyataan terbaru yang dikeluarkan oleh Datuk Husam Musa setelah selesai majlis pecah tanah yang dilakukan oleh Menteri Besar, Nik Aziz Nik Mat pada 28 Mei 2012 .
Menurutnya, lebuh raya Kota Bharu- Kuala Krai sepanjang 73 kilometer yang bertaraf R5 dan R9 persimpangan bertingkat serta 2 buah kawasan Rehat dan Rawat (R & R) dengan tawaran kos sebanyak RM1.5 hingga RM1.8 billion akan dibina oleh Kerajaan Negeri. Dinyatakan bahawa ia bersifat empat lorong dan tanpa tol.
Sebenarnya, ramai yang mempersoalkan kenapa baru sekarang hasrat itu dizahirkan, tidak ketika mula-mula memacakkan bendera pemerintahan suatu ketika dahulu.
Barangkali ramai yang terlepas pandang. Kenyataan tentang pengumuman projek ini bukanlah kali pertama tetapi sudah masuk kali kedua. Pengumuman pertama mengenainya dilakukan pada Ogos 2011 dan terbaru pada 28 Mei 2012. Sesuatu yang menarik untuk sama-sama difikirkan kenapa beria-ia sungguh pengumuman itu dibuat sekitar akhir tahun 2011 dan pertengahan 2012?.
Bagi pemerhati politik, tidak sukar untuk menelah maksud tindakan kerajaan negeri Kelantan tersebut. Jawapan paling mudah difahami ialah, kedua-dua pengumuman itu dibuat atas sebab pilihan raya umum ke-13. Kenapa dikatakan demikian?
Pengumuman pertama dibuat setelah ramai pemerhati politik pada asalnya menjangkakan bahawa pilihanraya umum ke-13 akan berlangsung pada musim cuti sekolah iaitu November 2011. Jadi ia pengumuman hasrat membina lebuh raya yang tergesa-gesa itu adalah untuk tujuan memancing undi segera perantau.
Namun, takdir menggagalkan segalanya bila mana pilihan raya tidak diadakan sebagaimana dijangkakan. Langsung ia dilupakan oleh rakyat sehinggalah dibuat pengumuman semula pada Mei baru-baru ini, juga setelah mendengar guruh di langit bahawa pilihanraya umum ke 13 akan diadakan pada cuti sekolah bulan Jun, namun Parlimen juga masih tidak dibubarkan sehingga sekarang.
Jadi adalah nyata bahawa semua idea dan pengumuman itu dibuat atas paksi politik dan bukannya atas soal betul-betul mahu menjaga kebajikan perantau sebagaimana didakwa. Jika kerajaan negeri ikhlas, kenapa pengumuman itu perlu menunggu detik-detik pilihanraya?. Kenapa tidak dibuat lama dahulu? Kenapa tergesa-gesa? Itulah antara persoalan yang bermain dalam benak fikiran rakyat Kelantan khususnya.
Lantaran itu, makin ramai rakyat Kelantan yang mulai sedar akan permainan politik kerajaan negeri ini. Mereka sudah semakin faham dengan sepak terajang kerajaan negeri dalam memanipulasikan undi rakyat untuk kepentingan pengekalan kuasa di negeri itu. Rakyat Kelantan khususnya, buka tidak sedar bahawa track record kerajaan negeri selama ini dalam mengurus dan menjayakan projek-projek mega sebelum ini hanya berjaya setakat peringkat membina batu asas semata-mata.
Lihat saja apa sudah jadi dengan projek mega pembinaan jambatan ke tiga yang menghubungkan Palekbang Tumpat dengan Kampung Cina di Kota Bharu yang diletakkan batu asasnya pada tahun 1996 dengan penuh meriah dan gah. Pelbagai kemelut kedengaran mengenainya yang akhirnya, sampai sekarang projek itu senyap entah ke mana. Bayangkan betapa lamanya kerajaan negeri Kelantan membohongi rakyat.
Terbaru ialah pemimpin Pas mengumumkan akan membina stadium baru Sukan di Selising, Pasir Puteh yang bernilai RM100 juta dan memberitahu bahawa mereka akan meminta bantuan pusat untuk peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10). Bagaimanapun, Kementerian Kewangan menyatakan bahawa mereka tidak pernah menerima permohonan daripada kerajaan negeri Kelantan untuk membina stadium itu.
Kelak, yang akan dibohongi kepada rakyat ialah kerajaan pusat tidak beri peruntukan, bukan mereka tidak mahu buat. Kesalahan diletakkan atas bahu orang lain sedangkan yang mengilhamkan tidak berusaha ke arah itu.
Inilah antara wayang-wayang politik yang dimainkan oleh kerajaan negeri Kelantan sejak mula memerintah 22 tahun yang lampau yang kesudahannya, rakyat hanya dikehendaki redha sahaja dengan keadaan yang ada. Maka jika dihitung track record kerajaan negeri dalam mengendalikan projek mega seumpama yang diterangkan, maka adalah menakutkan untuk kita bayangkan apa yang akan berlaku dengan hasil derma orang ramai bagi menrealisasikan impian politik pemimpin Pas Kelantan melalui pembinaan “lebuh raya batu asas” ini. Apakah akan berulang kejadian sepertimana kes tabung Memali?
Selain itu, kita perlu juga faham bahawa projek pembinaan lebuh raya adalah merupakan projek yang diketegorikan sebagai berskala besar. Justeru, ia bukanlah sesuatu yang mudah seperti berceramah di pentas.
Ia melibatkan pelbagai prosedur dan melibatkan banyak pihak dan paling kritikal ialah pemilik tanah yang akan terlibat dalam pembinaan. Projek lebuh raya Central Spine Expressway yang pernah ingin dilaksanakan oleh kerajaan pusat melalui RMK 9 menemui jalan buntu setelah penduduk yang terdiri daripada penyokong pembangkang yang tanah mereka terlibat telah bertindak menukar status tanah yang menyebabkan harga tanah menjadi tinggi berlipat ganda.
Akhirnya projek tersebut hanya siap setakat perbincangan awal. Soal pengambilan dan pembelian tanah penduduk adalah isu teras yang mendasari mana-mana projek jalan raya.
Lazimnya, rakyat yang tanahnya akan diambil oleh kerajaan sudah pasti akan memastikan tanah mereka yang mahu diambil, dibayar dengan harga yang paling tinggi
Jika pihak pengurusan projek gagal menguruskan isu pembelian tanah ini dengan baik maka peluang untuk projek jalan itu gagal adalah amat tinggi sekali. Jadi, dalam kes lebuh raya batu asas yang ingin dibuat oleh Husam ini, ia pasti akan menempuh proses yang sama.
Soalnya, apakah rakyat Kelantan yang menyokong kerajaan negeri dan tanah mereka terlibat akan rela memberikan tanah mereka dengan harga yang murah atau ada yang akan secara suka rela menderma secara percuma seperti memberi wang sedekah semasa di ceramah pas?
Jawapannya sudah tentu tidak. Orang Kelantan adalah masyarakat yang bijak. Mereka telah bertahun mengusahakan tanah di kawasan tersebut, dari kawasan yang berhutan tebal dan penuh dengan binatang buas sehingga menjadi kebun buah-buahan dan tanaman getah/sawit, maka walau pun mereka bertiketkan PAS tetapi bila sampai ke peringkat tanah mereka akan berdiri atas dasar untung rugi.
Jadi, ia akan berbalik kepada masalah seperti kegagalan dalam perundingan pembelian tanah untuk meneruskan projek Central Spine Expressway sebagaimana yang dirancang.
Itu baharu persoalan pembelian tanah, belum lagi kita bercakap soal setelah “lebuh raya batu asas” ini siap iaitu soal penyelenggaraan. Mampukah “lebuh raya batu asas” ini yang kononnya dibina tanpa tol mampu diselenggarakan dengan berkesan.
Jalan raya yang panjang dan banyak digunakan oleh kenderaan berat seperti lori balak pasti memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi. Soalnya duit untuk itu mahu diambil dari sumber kerajaan negeri yang mana?.
Apakah masih mahu diharapkan derma berterusan dari rakyat? Jika ya, mana tanggungjawab kerajaan negeri? Lepas tangan? Atau cuci tangan? Rekod kerajaan negeri menguruskan tangki-tangki air awam yang besar yang ditinggalkan oleh kerajaan negeri seawal mereka dapat memerintah Kelantan dahulu ternyata amat buruk.
Tangki air tersebut ternyata tidak diselenggarakan dengan baik yang menyebabkan kebocoran tanpa pembaikan dan sebagainya yang natijahnya memberi kesan yang buruk kepada penduduk Kelantan.
Maka apakah nasib lebuh raya batu asas ini sama? Jika ditakdirkan ia betul-betul berjaya dilaksanakan dengan hasil sumbangan rakyat yang prihatin maka bolehkah ia dipastikan sentiasa licin tanpa lubang?
Kontraktor mana yang sanggup berani menjadi kontraktor penyelenggara jika pembayaran kos penyelenggaraan bergantung kepada hasil derma orang ramai?
Jika kerajaan BN, mereka mempunyai agensi berkenaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) maka tiada kesusahan bagai mereka untuk membuat penyelenggaraan tetapi bagaimana dengan kerajaan negeri?
Itu adalah antara bayangan masalah ke depan yang bakal berlaku yang terlintas difikiran kita. Ia rumit dan komplikated, sebab itulah lebuh raya ini dianggap sebagai dogengan pilihan raya oleh kebanyakkan penduduk dan bagi penganalisis politik, ia adalah satu strategi lama.
Hal ini seolah-olah semakin nyata benar bila mana, pada pertengahan bulan Jun baru-baru ini Datuk Husam Musa mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa sudah ada unsur sabotaj terhadap oleh pihak tertentu untuk menggagalkan kerja awal projek lebuh raya rakyat aka lebuh raya batu asas ini hingga menyebabkan konsultan atau kontraktor yang dilantik terganggu.
Satu strategi tai chi politik yang lazim digunakan pembangkang iaitu jika ada masalah atau nampak akan menemui kegagalan maka dipersalahkan pihak kerajaan sebagai dalang, sedangkan kita maklum bahawa kerajaan tidak akan menyekat usaha itu jika mereka mampu kerana kerajaan yakin mereka sebenarnya tidak mampu.
Hanya air liur sahaja yang manis tetapi baunya tetap masam. Husam sudah nampak bahawa rupa-rupanya masalah terlalu komlikated dalam projek ini bila mana di peringkat yang terlalu awal pun sudah nampak tanda-tanda mereka akan menghadapi kegagalan.
Sebelum ini barangkali mereka tidak fikir itu semua kerana bagi mereka isu jalan sesak dari gua musang ke kota baharu adalah isu besar bagi perantau dan pengguna jalan ini. Ia boleh memberikan satu laba politik yang besar jika berjaya dijuarai oleh mana-mana parti politik.
Maka mereka melihat ini adalah peluang dan masa yang tepat untuk mengamit sokongan rakyat terutamanya perantau. Ternyata, satu strategi pemasaran politik yang mudah dihidu dan ia bersifat mee segera.
Kesimpulannya, dalam masa pihak kerajaan negeri sedang berpropa dengan idea projek meganya yang baru iaitu lebuh raya rakyat aka “lebuh raya batu asas”, tanpa kita sedari rakyat Kelantan terbanyak sebenarnya bukan memerlukan projek itu sebagai keutamaan mereka sekarang ini.
Rakyat Kelantan sudah 22 tahun terbelenggu dengan permasalahan air bersih dan air terawat. Itulah masalah paling runcing yang perlu ditangani secara tangkas dan tuntas oleh pihak kerajaan negeri.
Bayangkan betapa banyak pendedahan oleh pihak media massa atau bantahan oleh rakyat Kelantan sendiri mengenainya tetapi ia dipandang enteng dan sipi sahaja oleh kerajaan negeri.
Tiada satu langkah konstruktif yang diperjelaskan kepada rakyat untuk mengatasinya yang menunjukkan bahawa mereka lebih suka berpolitik daripada menyelesaikan masalah yang timbul.
Hari ini, rakyat Kelantan terpaksa meneguk air yang kualitinya amat rendah saban hari. Sepatutnya, ia dijadikan teras pembelaan kerajaan negeri tetapi sebaliknya, mereka lebih suka membuat diversion atau peralihan tumpuan rakyat kepada satu projek meja yang baru yang secara jelas nampak bahawa ia bertujuan semata-mata mahu memancing undi rakyat Kelantan di perantauan.
Sikap kerajaan negeri seperti ini harus dikesali oleh rakyat Kelantan kerana ia ibarat seperti perumpaan orang yang suka berhutang “tutup lubang sini dengan menggali lubang di sana” atau satu perangkap politik yang cukup licik dengan menjadikan sentimen rakyat untuk memangkah mereka sebagai satu keperluan.
Jika benar, maka ia begitu mudah ditelah dan rakyat Kelantan pasti tidak akan tertipu lagi kali ini. Rakyat Kelantan harus memastikan mandat kali ini bertukar ganti demi satu kehidupan yang lebih baik berbanding sekarang, cukup-cukuplah mempermainkan harapan rakyat.
sumber penulisan Mysuara Net
No comments:
Post a Comment
Anda memang mempunyai suara untuk memberi pandangan dengan tangungjawap anda sendiri.