Wednesday, 2 October 2013

Zombie Makan Orang Di Malaysia Bukannya Kisah Fantasi Lagi

Selama ini kita hanya menonton kisah-kisah fantasi mengenai zombie termasuk cerita Zombie Kampung Pisang. Tetapi zaman sekarang kisah itu bukan lagi fantasi sebalik benar-benar berlaku zombie makan daging manusia, malah dilaporkan polis mula merebak masuk melalui Kelantan. Masalah ini kalau tidak dibendung alamatnya sudah tentu menakutkan jika dibayangkan

JELI - Polis Kelantan memandang serius ancaman dadah terbaru dikenali sebagai ‘bath salts’ (Garam mandi) yang boleh merangsang penagih menjadi ‘zombi’ kerana sanggup memakan daging manusia.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dadah dikategorikan sebagai paling berbahaya di Amerika Syarikat, Britain dan Eropah itu bertindak merangsang otak ke tahap tertinggi dan meningkatkan suhu badan kepada 41.6 darjah celsius.

“Keadaan itu menjadi punca halusinasi dan perlakuan ganas yang ekstrem, menyebabkan penagih dadah



jenis ini hilang pertimbangan sehingga sanggup membunuh dan memakan daging manusia atau menyakiti mangsa sampai mati.

“Pengambilan berterusan selama beberapa jam juga akan mengakibatkan pengguna menjadi gila dengan 85 peratus akan pulih dalam tempoh 30 hari manakala 15 peratus lagi kekal gila sehingga mati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup Seminar Pencegahan Jenayah dan Pelancaran Kelab Pencegah Jenayah, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, semalam.

Jalaluddin berkata, cara pengambilan dadah 'bath salts' adalah dengan membakar, menghisap, melarutkan dalam air dan disuntik atau memasukkannya ke punggung bagi mendapatkan rangsangan.

Katanya, siasatan sebuah akhbar tabloid di Britain mendapati dadah sintetik dinamakan sempena garam yang digunakan dalam mandian itu mampu pengaruhi penggunanya supaya memakan daging manusia.

“Mereka tidak sedar apa mereka lakukan kerana berada dalam keadaan khayal seperti insiden di Britain membabitkan dadah itu yang diberi nama ‘Benzo Fury’.

“Kes pertama serangan ‘zombi’ ini membabitkan seorang remaja Scotland berusia 19 tahun yang maut selepas mengambil dadah 'bath salts' yang dibeli dengan harga RM50.

“Seorang lagi remaja perempuan juga berusia 19 tahun bertindak membogelkan diri di sebuah pasar raya sejurus ambil dadah ini,” katanya.

Menurutnya, jika tidak dihalang, kemasukan ‘Bath Salts’ mungkin akan mengambil tempat ekstasi dan syabu, malah dadah itu yang sebelum ini digunakan golongan elit di luar negara kelak akan mampu dibeli penagih biasa.



Pada sidang media selepas itu, Jalaluddin berkata, Kelantan lebih terdedah kepada kemasukan dadah jenis ‘Bath Salts’ kerana kedudukannya bersempadan dengan Thailand.

“Polis Kelantan pandang serius ancaman dadah jenis baru ini. Kita akan bincang dengan agensi lain seperti Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dan kastam bagi mengetatkan lagi kawalan di sempadan.

“Setakat ini, polis belum terima maklumat berkaitan 'bath salts' di Kelantan dan kita cuba sedaya upaya menyekat kemasukannya kerana dadah ini cukup berbahaya,” katanya.

Insiden paling sadis dilaporkan membabitkan 'bath salts' adalah serangan terhadap seorang lelaki gelandangan berusia 65 tahun di Amerika Syarikat yang kehilangan hampir suku wajahnya kerana dimakan penagih dadah, Mei tahun lalu.

Penagih terbabit ditembak mati selepas dia tidak mengendahkan arahan polis supaya berhenti menggigit wajah mangsanya, sebaliknya mendengus seperti haiwan liar dan akibat kejadian itu, lelaki gelandangan terbabit menjadi separuh buta.
sinar harian

No comments:

Post a Comment

Anda memang mempunyai suara untuk memberi pandangan dengan tangungjawap anda sendiri.