Nampaknya jika ada kelemahan dalam jentera pengurusan dan kepemimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak ia ditubuhkan 15 tahun lalu yang boleh dianggap kurang berkesan, sudah pasti ia adalah Biro Politiknya.
Ini kerana banyak keputusan yang dibuat oleh biro berkenaan sering tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana umumnya isu politik yang dibincangkan oleh biro itu sering ditenggelami oleh perkembangan semasa.
Ini sekaligus membayangkan mengapa garapan biro ini berhubung pergolakan politik semasa sering tidak komprehensif, tersasar dan kerap juga “dipetisejukkan” oleh barisan pimpinan parti itu sendiri.
Keadaan ini paling ketara apabila diperhatikan cara dan keberkesanannya mengarahkan satu-satunya kerajaan negeri pimpinannya – Selangor – menentukan halatuju perkhidmatannya kepada rakyat. Di Sabah juga demikian.
Pebagai keberangkalian dan kemungkinan boleh difikirkan mengapa keadaan ini berlaku. Namun umumnya ketidakberkesanan biro ini mungkin berpunca daripada pembentangan dan pengumpulan maklumat yang kurang lengkap dan tepat.
Ini mungkin juga berlaku kerana pengarahan perbincangan mengenai sesuatu isu politik itu dimonopoli atau dipengaruhi oleh personaliti tertentu sahaja. Atau, mungkin juga anggota biro terlalu terikat dengan banyak perkiraan kepentingan peribadi.
Keadaan ini tentu agak menggusarkan ahli dan juga penyokong parti serta rakyat umum yang berharap PKR boleh memberi makna positif dalam kehidupan mereka.
Biro Politik PKR gagal kawal Khalid
Banyak contoh yang boleh diketengahkan dalam hal ini. Yang paling jelas ialah, biro ini sering lambat atau gagal memahami cara bagaimana untuk mengendalikan sebuah kerajaan negeri.
Dalilnya, dalam beberapa keadaan banyak keputusan dan arahan biro ini tidak, dan atau kelihatan enggan dilaksanakan oleh kerajaan PKR yang dipimpin oleh wakilnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Keadaan ini dapat dikesan sejak awal pemerintahan PKR di Selangor mulai Mac 2008 lagi. Dari soal mengarahkan kerajaan negeri “membantu” program-program parti di segi latihan, pengurusan dan pelaburan politik sehingga kepada soal disiplin kepemimpinan, input biro ini seolah-olah diabaikan.
Ini mendorong komen dan kritikan hebat daripada kalangan akar umbi pada kongres parti di Kota Bharu terhadap “kelemahan’ ini. Natijahnya, Khalid dilucutkan jawatan pengerusi Majlis Pimpinan Negeri dan digantikan oleh Naib Presiden ketika itu, Azmin Ali.
Sifirnya ialah, biarlah Khalid beri tumpuan pada kerja mengurus dan mentadbir kerajaan negeri. Kerja politik serahkan kepada Azmin. Ini juga bermaksud tugas Khalid ialah dengar dan patuhi arahan parti, khususnya daripada Biro Politik.
Namun adalah jelas bahawa tidak banyak arahan parti diakuri Khalid walaupun pertukaran kedudukan itu sudah dilakukan. Ini memaksa Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim “turun padang” dengan menyandang jawatan Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri.
Khalid umumnya menunjukkan keyakinan tinggi bahawa beliau mampu mengurus Selangor secara berkesan. Lantas beliau mengatur sendiri strategi menggunakan isu bekalan air bersih dan rizab tunai yang tinggi sebagai senjata “sepanjang zaman” pemerintahannya.
Berulang alik isu itu dibalun oleh Khalid dan Biro Politik PKR tiada pilihan selain “merestui” sahaja pendirian kerajaan Khalid.
Di celah-celah tempoh itu, dalam memperkukuhkan pengaruh PKR di hati rakyat, pelbagai program disyorkan oleh parti supaya dilaksanakan oleh Khalid. Parti mengarahkan supaya bekas pensyarah dan pemidato hebat, Dr Badrulamin Baharom dilantik menjadi pengarah penerangan di pejabat Menteri Besar.
Tugas beliau adalah untuk menyusun gelombang-gelombang komunikasi yang boleh mengghairahkan terus rakyat menyokong PKR. Bagaimanapun Khalid mempunyai idea tersendiri bagaimana mahu mencapai maksud itu.
Tidak lama kemudian, Dr Barulamin tersingkir daripada jentera kerajaan negeri.
Anwar tak putus asa dengan tindak-tanduk Khalid
Namun orang yang paling tidak kenal penat atau kecewa, Anwar Ibrahim, terus berikhtiar bagaimana mahu menjadikan Selangor tapak melebarkan pengaruh PKR dalam politik Malaysia.
Melalui program maqasid syariahnya beliau mempelopori beberapa siri wacana ekonomi dan membariskan beberapa pemikir luar dan dalam negara untuk memberi perakuan akan keberkesanan kepemimpinan PKR di Selangor.
Hal ini kurang disokong oleh Khalid. Malah beliau amat keberatan untuk “menaja apatah lagi membiayai" program yang dekat di hati Anwar ini.
Anehnya, amat sukar untuk pengerusi biro politik, iaitu isteri Anwar sendiri, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, mendorong Khalid menerima dan akur pada “nasihat dan arahan” Biro Politik.
Sebaliknya, Khalid terlalu taksub dan sibuk dengan tugas Menteri Besarnya sehingga sering tidak hadir, dan, jika hadir sekalipun, sering meninggalkan mesyuarat Biro Politik lebih awal.
Umumnya gambaran alasan Khalid bukan beliau tidak akur pada keputusan parti tetapi cara parti, khususnya biro politik, membuat keputusan sering tidak secocok dengan realiti politik di Selangor.
Kemuncak daripada mentaliti ini, Khalid terpaksa membuat keputusan sendiri dalam menentukan keutamaan tindakan dan polisi pemerintahan PKR di Selangor. Baru-baru ini beliau menaikkan gaji exco, speaker dan dirinya hingga hampir 400 peratus.
Baginya, imbuhan yang mewah akan menghasilkan mutu kerja yang lebih tinggi dan bersih. Malangnya, tindakan itu meresahkan pimpinan PKR dan akhirnya Pakatan Rakyat.
Ketika rakyat semakin dihimpit kos sara hidup tinggi dan kerajaan pusat berusaha meringankan beban rakyat, Selangor bertindak menambah gaji pemimpin-pemimpin politiknya. Ini agak memalukan Pakatan Rakyat.
Biro Politik PKR dan kemudian menjalar kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengarahkan Khalid mengkaji semula keputusan itu. Khalid patuh. Kajian semula dibuat tetapi keputusannya ialah kenaikan gaji kekal dengan pemotongan sedikit dibuat bagi membantu meringankan kesempitan rakyat.
Khalid mula berputus asa mengenai penstrukturan air
Begitu juga dengan isu air. Selepas lima tahun, Khalid seolah-olah melihat isu sudah menjemukan. Maka ia bersetuju melepaskan pengurusan air kepada kerajaan pusat melalui pengambilahan Suruhanjaya Pengurusan Air Nasional (SPAN).
Sekali lagi parti tidak bersetuju. Namun Khalid menganggap beliau lebih memahami realiti politik dan sosio-ekonomi di Selangor. Biro politik masih terkapai-kapai mengekori keputusan Khalid.
Kini, Khalid secara langsung atau tidak mengasingkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali daripada urus-niaga kerajaannya dengan menggugurkannya dari Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Sekali lagi keadaan ini mencabar Biro Politik. Dan, seperti biasa ia cuma mampu membincangkan perkembangan ini. Namun Khalid makin yakin. Kali ini beliau pula cenderung memimpin biro pemikiran dan halatuju biro.
Ketiadaan Azmin dalam urusan kerajaan negeri memungkinkan Khalid melebarkan pengaruh dan menonjolkan pengaruhnya sebagai calon presiden PKR. Mungkin pada perkiraan Khalid jika beliau mengambil alih kepimpinan PKR, barulah pemikiran politik Biro Politik dengan kerajaan negeri dapat diselaraskan.
Anwar Ibrahim berkeyakinan pemimpin PKR yang ada bakat meluruskan pemikiran politik kusut Khalid ini ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. Sebab itu biro politik terlebih dahulu “menghantarnya” ke pejabat Khalid sebagai “perantara”. Namun hingga hari ini hasilnya belum nampak.
Mungkin ini semua berlaku kerana presiden tidak tegas atau kepemimpinannya kurang berkesan. Maka mungkin sebab itu juga Ketua Umum sering lebih banyak bercakap dalam mesyuarat biro politik. Ini agaknya menjengkelkan Khalid yang sehingga hari ini tidak “memberi muka” kepada Saifuddin sebagai utusan parti.sumber antarapos
No comments:
Post a Comment
Anda memang mempunyai suara untuk memberi pandangan dengan tangungjawap anda sendiri.