Friday, 21 February 2014

Siapa Yang Rugi Kalau Waythamoorthy Merajuk Sombong


Tindakan Pengerusi Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf), P. Waythamoorthy yang meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilihat hanya merugikan masyarakat India.

Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas berkata, Waythamoorthy yang mendakwa sebagai pejuang komuniti India selama ini, dilihat mengambil keputusan mudah dengan meletak jawatan dan kemudiannya menyalahkan orang lain atas kegagalan sendiri dalam memikul tanggungjawab yang diberikan.

"Selepas diberi peluang berada dalam kerajaan, beliau sepatutnya fokus pada pembangunan serta mencari jalan untuk meningkatkan sosioekonomi kaum India, bukannya menyalahkan orang lain.

"Setahu saya, selama lapan bulan lalu, tiada seorang pemimpin politik atau wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dipanggil untuk berbincang mengenai hala tuju kaum India. Sebenarnya, beliau yang tidak mampu bekerja sebagai satu pasukan.

"Malah, permintaannya juga tidak munasabah kerana beliau patut ada strategi dan pelan tindakan bukan dengan tiba-tiba meminta peruntukan. Isu ini dilihat hanya membuang masa dan merugikan masyarakat India," katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PPP di sini hari ini.

Jelas Kayveas, alasan Waythamoorthy adalah tidak berasas kerana peluang telah diberi ketika kerajaan menjalinkan perjanjian persefahaman dengan Hindraf, namun usaha tersebut tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh beliau.

"Peluang sudah diberikan kepadanya untuk meningkatkan kehidupan masyarakat India, namun beliau yang gagal memanfaatkannya. Kenapa menyalahkan kerajaan seolah-olah tiada kebaikan yang dilakukan. Malah, sehingga hari ini kami tidak nampak sumbangan beliau," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac ini, Kayveas berkata, pihaknya akan memberi sokongan penuh terhadap mana-mana calon yang dipersetujui oleh kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku sabotaj terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh para pengundi berikutan wujud rasa tidak puas hati terhadap kepemimpinan beliau.

"Rakyat tidak akan tertipu dengan muslihat bahawa pilihan raya kecil yang bakal diadakan untuk kebaikan penduduk, malah mereka sedar tindakan Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi di kawasan tersebut bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding sekali gus membolehkannya menjadi Menteri Besar Selangor," katanya.

Sementara itu, Kayveas menafikan beliau terlibat mengeluarkan sebuah kenyataan dalam laman sosial Facebook bertajuk 'lima alasan mengapa sekolah Tamil di negara ini harus ditutup.'

Katanya, tindakan beberapa suratkhabar Tamil yang mengaitkan beliau dengan kenyataan tersebut tanpa merujuknya terlebih dahulu telah menjejaskan imej dan nama baik parti.

"Walaupun kami dapat kenal pasti identiti laman itu, saya ingin menegaskan bahawa saya dan parti tiada kaitan dengan kenyataan tersebut. Jadi mengapa media memburukkan nama saya dalam beberapa artikel mereka sejak minggu lalu.

"Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap suratkhabar berkenaan jika mereka tidak tampil memohon maaf dalam tempoh seminggu," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140221/po_03/Tindakan-merugikan-komuniti-India#ixzz2u0WPEr30
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Anda memang mempunyai suara untuk memberi pandangan dengan tangungjawap anda sendiri.