Wednesday, 19 March 2014
#MissingMH370 Masih Boleh Ditemui Pakar Sensor Dunia #PrayForMH370
Satu laporan oleh badan pemantau yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberikan harapan baharu bahawa pesawat MH370 yang hilang masih boleh ditemui manakala laporan yang mencadangkan pesawat mungkin berada di kawasan terpencil di Lautan Hindi dan Kudahuvadhoo juga boleh diterima pakai.
Syarikat yang berpangkalan di Austia, Comprehensive Nuclear-Test-Ban Treaty Organisation (CTBTO) yang mempunyai sensor yang sangat sensitif di seluruh dunia berkata ia tidak mengesan apa-apa letupan atau kemalangan sama ada di atas tanah atau di laut sejak pesawat hilang pada 8 Mac.
Setiausaha Eksekutif CTBTO Lassina Zarbo berkata kemalangan kapal terbang boleh dikesan dengan tiga daripada empat teknologi yang digunakan oleh Sistem Pemantauan Antarabangsa organisasi itu.
“Data kami berpotensi memberi penerangan tentang di mana beradanya penerbangan MH370. Kami berhutang kepada keluarga yang sedang cemas menunggu berita tentang tersayang dengan sistem ini yang berpotensi untuk memenuhi permintaan mereka,” kata beliau di laman web CTBTO.
Walaupun sistem ini telah dibangunkan terutamanya untuk mengesan letupan nuklear, ia juga boleh mengesan letupan pesawat yang besar serta kesannya di darat atau air.
Stesen CTBTO telah mengesan beberapa kemalangan kapal terbang pada masa lalu, termasuk kemalangan pesawat di lapangan terbang Narita di Jepun pada Mac 2009.
Jika maklumat CTBTO adalah betul, ia menimbulkan persoalan di mana kapal terbang itu kini berada.
Penyiasat tidak menolak kemungkinan bahawa pesawat itu terhempas di Lautan Hindi tetapi mereka juga mencari di tapak di mana ia mungkin boleh mendarat.
Di koridor selatan, beberapa pulau-pulau telah dikenal pasti untuk diberi penelitian.
Ini termasuklah Male di Maldives, Diego Garcia yang menjadi pangkalan udara Amerika Syarikat, sebuah lapangan terbang di Sri Lanka yang mana semua lokasi ini dilaporkan telah dimuat turun ke dalam simulator pesawat di rumah juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah.
Lain-lain kawasan termasuklah beberapa pulau di Lautan Hindi.
Penduduk Maldives di pulau terpencil di Kudahuvadhoo, Dhaal Atoll telah melaporkan melihat “pesawat terbang rendah” pada pagi pesawat hilang. Diego Garcia terletak di selatan pulau itu.
Beberapa penduduk Kudahuvadhoo memberitahu portal berita tempatan bahawa mereka melihat satu “pesawat jumbo terbang rendah” kira-kira pukul 6.15 pagi pada 8 Mac.
Mereka berkata ia adalah pesawat putih, dengan jalur merah di seluruh badannya, sama seperti pesawat Malaysia Airlines.-Mstar.
No comments:
Post a Comment
Anda memang mempunyai suara untuk memberi pandangan dengan tangungjawap anda sendiri.