Thursday, 6 March 2014

Pertanda Awal Khalid Ibrahim Tidak Diperlukan Dan Dipulaukan Anwar Ibrahim



Kelibat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang langsung tidak kelihatan pada majlis pelancaran jentera Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Taman Jenaris dekat sini malam tadi, menimbulkan pelbagai persoalan.

Ini kerana sebagai Pengarah PRK DUN Kajang bagi pakatan pembangkang, beliau sepatutnya hadir untuk memberi sokongan moral kepada jentera Pas.

Ketidakhadiran Abdul Khalid mungkin ada kaitan dengan spekulasi berhubung konflik dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) melibatkan beliau, Penasihat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden, Azmin Ali.

Kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar kini terancam selepas Anwar menyuarakan hasrat untuk mengambil alih jawatan itu sekiranya menang dalam PRK DUN Kajang.

Krisis antara Abdul Khalid dan Azmin pula telah lama berpanjangan sejak 2010 dan memuncak apabila Timbalan Presiden PKR itu digugurkan daripada jawatan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkuat kuasa 10 Januari lalu.

Pergeseran antara kedua-dua pemimpin PKR terbabit semakin terserlah setelah Abdul Khalid mengesahkan akan bertanding untuk merebut jawatan yang disandang Azmin pada pemilihan parti itu, Mei ini.

Anwar ketika berucap pada majlis berkenaan mengambil kesempatan di atas ketidakhadiran Abdul Khalid dengan mengkritik Menteri Besar itu yang dikatakan tunduk kepada kehendak Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu bekalan air.

Anwar menegaskan, memorandum persefahaman (MoU) berhubungan penstrukturan semula industri bekalan air di negeri ini yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan PKR Selangor pada 26 Februari lalu boleh dibatalkan.

"MoU itu bukan perjanjian. MoU itu persefahaman, persefahaman itu boleh lagi dirungkai kalau kita anggap beberapa kepentingan negeri tidak dapat dipertahankan," ujarnya.

Anwar turut mengakui telah memberi restu kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli untuk mempersoalkan kebijaksanaan Abdul Khalid menandatangani MoU itu dengan mengatakan perjanjian tersebut adalah berat sebelah dan lebih menyebelahi Kerajaan Persekutuan dalam beberapa aspek.

Beliau juga kelihatan berdolak-dalik apabila menjelaskan pendiriannya berhubung hasrat Abdul Khalid mencabar Azmin pada pemilihan PKR nanti.

"Sekarang Timbalan Presiden, Azmin. Ada orang menawarkan diri nak bertanding. Dalam pemilihan parti, biasalah.

"Dalam Pas ada pertandingan, dalam UMNO ada pertandingan, dalam PKR mengapa tak boleh nak bertanding?

"Bukan maknanya itu saya suruh bertanding lawan Azmin, tidak. Tetapi, saya apabila ditanya, itu jawapan saya," katanya.

Persoalan juga timbul tentang komitmen golongan ulama dalam Pas untuk membantu kempen Anwar pada PRK DUN Kajang memandangkan tiada pemimpin yang mewakili kumpulan tersebut hadir pada majlis berkenaan.

Antara pemimpin Pas yang hadir ialah Naib Presiden, Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Dr. Hatta Ramli.

Selain Azmin, pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang yang hadir termasuk Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140306/po_05/Mengapa-Khalid-tidak-hadir-pelancaran-jentera-Pas#ixzz2vEj8CfUG
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Anda memang mempunyai suara untuk memberi pandangan dengan tangungjawap anda sendiri.