Orang Islam wajib sokong hudud malah MCA dan Gerakan menegaskan kedua-dua parti ini bukanlah anti-Islam.
Pandangan itu disuarakan Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng yang dilihat mempunyai persepsi berbeza dengan pendirian yang diketengahkan oleh pemimpin besar Pakatan Rakyat (PR).
Liang Teck Meng…DAP sepatutnya kaji hubungan dengan PAS bukan pusing kepada MCA dan Gerakan
Ia adalah sebagai respon kepada desakan DAP terhadap MCA dan Gerakan untuk memastikan UMNO menolak cadangan melaksanakan hudud sebelum menyertai semula kabinet.
Katanya sebagai seorang Muslim adalah wajib untuk mereka menghormati undang-undang tersebut dan menyokong pelaksanaannya.
Namun jelas beliau masih terdapat aspek teknikal yang perlu diperhalusi sebelum undang-undang itu dilaksanakan.
“Saya tidak mahu komen tapi nak dengar dulu dari DAP. Tetapi pandangan saya, bagi Muslim mereka wajib sokong hudud tak ada masalah.
“Kena selesaikan teknikal dulu hal yang melibatkan Perlembagaan.
“Saya ingin tegaskan bahawa pendirian Gerakan dan MCA bukan anti-Islam, tetapi kami berpendapat ia harus dikaji secara teknikal sama ada boleh atau tidak dua undang-undang jenayah di bawah satu perlembagaan,” katanya di dalam sidang media di lobi Parlimen, Selasa.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebelum ini berkata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tong Lai dan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Kiong tidak sepatutnya menerima pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selagi tiada jaminan hukum hudud tidak diteruskan sebagaimana selaras dengan perlembagaan persekutuan yang menyatakan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi.
Lim Kit Siang nafi kepincangan dalam PR
Namun Ahli Parlimen Simpang Renggam ini berpandangan bahawa DAP sepatutnya memutuskan secara jelas berkenaan hubungan mereka bersama PAS di dalam PR memandangkan dua parti itu membawa dua pandangan yang lantang berbeza.
Beliau turut menyifatkan bahawa DAP pada hakikatnya gerun dengan PAS apabila parti Islam itu bertegas dalam isu pelaksanaan hudud di Kelantan.
Ekoran pendirian PAS yang tegas itu, DAP dilihat cuba mengalih pandangan dengan menjadikan MCA dan Gerakan sebagai modal untuk menutup kepincangan yang wujud di dalam pakatan pembangkang tersebut.
“Melalui satu rakaman video semasa kempen di PRK Teluk Intan baru-baru ini, saya lihat DAP sewaktu berucap di komuniti Melayu dan Islam berkata tidak menentang hudud, tetapi apabila berdepan dengan masyarakat Cina, mereka kata menentang hudud pula.
“Saya tidak faham mesej apakah yang ingin dibawa DAP kepada rakyat Malaysia. Sekiranya DAP ikhlas menentang hudud, mereka patut putuskan dengan PAS dan Pakatan Rakyat, bukan bergaduh dengan MCA dan GERAKAN,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Anda memang mempunyai suara untuk memberi pandangan dengan tangungjawap anda sendiri.