Isu pegang anjing yang heboh sehari dua ini bukan sekadar dibincangkan dari sudut hukum atau dari sudut fiqh, tetapi lebih dari itu ia perlu dibincangkan dari sudut pemikiran moden yang berkembang dalam kalangan generasi baru. Dari sudut fiqh, ada mazhab yang ketat dalam isu pegang anjing dan pula mazhab yang memberikan ruang dan kelonggaran seperti mazhab Hanafi.
Ia sepatutnya tidak menjadi masalah yang besar kerana wujud kelonggaran dari sudut agama. Masalahnya ialah ia bercanggah dengan adat dan tradisi orang Melayu di negara ini yang berasa canggung dengan anjing. Ia dikukuhkan dengan mazhab fiqh orang Melayu yang berasaskan kepada mazhab kurang mesra dengan anjing. Kalau pegangpun, hanya perlu basuh sahaja bukanlah haram.
Dari sudut pemikiran, mengetengahkan isu pegang anjing merupakan suatu jenis pemikiran yang dinamakan sebagai post modernism iaitu pemikiran yang sentiasa mengkritik apa yang telah mapan atau yang sudah biasa diamalkan dalam masyarakat atau melakukan sesuatu menyanggah kebiasaan masyarakat. Ia menjadi trend semasa kepada generasi masa kini yang dipercayai atas alasan itu adalah hak mereka. Banyak aktiviti kehidupan generasi masa kini yang cuba menyalahi amalan kebiasaan pada masa lalu yang dianggap sebagai inovasi. Malah, menyanggahi amalan kebiasaan dalam sesetengah keadaan sangat digalakkan atas nama inovasi. Memang tidak semua sanggahan terhadap tradisi itu haram melainkan sekiranya menyanggah perkara yang diwajibkan di dalam agama.
Sikap suka menyanggahi amalan tradisi termasuk agama adalah sifat utama kepada liberalisme dan pluralisme yang cuba membebaskan diri dari sebarang ikatan autoriti. Sifat agama yang mengikat tidak membenarkan penganutnya membebaskan diri dan melakukan amalan ikut hawa nafsu. Namun, bagi seorang pluralis dan liberalis, tradisi dan agama telah mengongkong kehidupan mereka. Maka, menyanggahi tradisi termasuk agama adalah suatu keperluan. Mereka mengkritik biarpun perkara yang sudah tetap di dalam agama. Fenomena inilah yang disebut sebagai post modernism.
Isu pegang anjing merupakan suatu usaha yang halus yang boleh dikaitkan dengan usaha untuk meruntuhkan pegangan umat Islam terhadap tradisi, termasuklah agama. Setakat ini, pegang anjing bukanlah suatu isu penting yang perlu diangkat sebagai bahan perbincangan oleh umat Islam. Banyak lagi isu yang perlu diberikan perhatian oleh orang Islam seperti isu akidah, isu arak dan sebagainya. Tetapi ia diangkat sebagai isu yang penting dipercayai mempunyai agenda yang tertentu dan sebahagian dari kempen besar contestation dalam “politik baru” yang ingin dibawa masuk ke dalam negara ini. Kali ini mungkin pegang anjing, mungkin akan datang lain pula isunya.
Saidina Ali berkata: kata-kata yang betul, tetapi digunakan untuk tujuan yang salah.
Nota - Post modern adalah asas kepada Islam liberal dan post Islamism. Mereka suka mengkritik walaupun perkara yang tetap di dalam Islam
No comments:
Post a Comment
Anda memang mempunyai suara untuk memberi pandangan dengan tangungjawap anda sendiri.