Monday, 4 February 2013

Awas Agenda Menjejaskan Akidah Di PRU-13

Umat Islam perlu menjadikan tanggungjawab memilih kepemimpinan negara pada pilihan raya umum akan datang sebagai satu usaha memastikan akidah mereka terus dipertahankan.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin menyifatkan umat Islam di negara ini kini berhadapan dengan krisis akidah susulan tuntutan penggunaan kalimah Allah yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam perutusan Krismas tahun lalu.

"Perkara ini tidak seharusnya dilihat oleh umat Islam sebagai suatu yang kecil apatah lagi menganggapnya sekadar satu isu politik.

Maka, dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, saya minta umat Islam melihat pilihan raya bukan hanya satu proses untuk menentukan siapa menjadi kerajaan, siapa jadi Perdana Menteri semata-mata.

"Sebaliknya saya mahu semua umat Islam menjadikan pilihan raya itu nanti sebagai penentu sama ada akidah kita selamat atau tidak. Kita kena faham isu kalimah Allah mengatasi politik kerana isu tersebut membabitkan akidah, tauhid kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Jom Selamatkan Kalimah Allah di Taman Bukit Subang, di sini malam tadi.Yang turut hadir memberikan ceramah ialah Ahli Majlis Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Wan Indra Putra Ahmad.Zulkifli turut mengingatkan umat Islam agar menolak pakatan pembangkang apabila majlis pimpinannya yang turut dianggotai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri pada 8 Januari lalu memutuskan kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut semua agama dengan syarat tidak disalahgunakan.

Tegasnya, meskipun Majlis Syura Ulama Pas kemudiannya memutuskan menolak penggunaan kalimah Allah itu oleh agama lain, Abdul Hadi sehingga kini belum menarik balik persetujuannya bersama pemimpin tertinggi DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membenarkan pengunaan kalimah suci itu kepada semua agama.

Sementara itu, Wan Indra mahu rakyat memilih kerajaan berdasarkan rekod prestasi membantu rakyat seperti yang telah ditunjukkan oleh Barisan Nasional (BN) dalam memimpin negara dan rakyat hingga ke hari ini.

Katanya, mungkin BN ada melakukan kesilapan pada masa lalu tetapi sebenarnya BN adalah lebih baik berbanding parti-parti pembangkang yang lain.

"Meskipun BN diperlekehkan oleh pembangkang, parti itu dilihat terus mengekalkan perpaduan atas semangat perkongsian kuasa dan melaksanakan setiap janji mereka kepada rakyat sehingga ke hari ini."Berbeza dengan pembangkang, kita lihat PKR, DAP dan Pas lebih banyak membuat fitnah, tuduhan terhadap BN tanpa bukti nyata. Malah pembangkang sendiri pun tidak mempunyai kesepakatan dalam kalangan mereka apatah lagi menepati janji-janji mereka terhadap rakyat seperti di Selangor," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130204/po_06/PRU-13-medan-selamatkan-akidah#ixzz2JtIJ8cjH © Utusan Melayu (M) Bhd 
Published with Blogger-droid v2.0.10

No comments:

Post a Comment

Anda memang mempunyai suara untuk memberi pandangan dengan tangungjawap anda sendiri.