KUALA LUMPUR 31 Jan. - Pemecatan Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa (gambar) daripada Majlis Syura Ulama Pas bukan sahaja menggegarkan politik tanah air, malah mendapat perhatian akhbar luar negara, The Australian.
Dalam artikel ditulis oleh Pengarang Asia Pasifik akhbar berkenaan, Rowan Callick, pemecatan itu dikatakan ekoran tindakan Nasharudin menyertai lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza, Palestin sebagai tetamu Hamas, baru-baru ini.Artikel itu turut memetik kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu: "Pas tidak seharusnya mengutamakan politik sehingga memecat Nasharudin. (Lawatan ke Gaza) sepatutnya dijadikan model kerjasama untuk orang melihat Muslim Malaysia, walaupun dari pembangkang, dapat bekerjasama dengan kerajaan untuk membawa mesej keamanan sejagat.
"Artikel yang disiarkan di laman web http://www.theaustralian.com.au itu kemudiannya merujuk kepada pensyarah Sains Sosial University of New South Wales, Australia, Clive Kessler yang memberitahu lawatan Najib itu didorong oleh senario politik tempatan berikutan pilihan raya umum yang semakin tiba.Menurut Kessler, Najib cuba menampilkan dirinya sebagai 'Pejuang Islam' di sebalik cubaannya sebelum ini untuk menjadi jaguh dalam gerakan kesederhanaan antarabangsa.
Katanya, ia juga bertujuan meneruskan sokongan Mahathir yang mana anaknya, Datuk Mukhriz telah melawat ke Gaza baru-baru ini di samping mempromosikan reputasi Malaysia sebagai contoh negara Islam walaupun kedudukannya jauh dari Asia Barat.
Kessler memberitahu, perkara itu adalah versi Malaysia dalam 'budaya merendah diri'.Paling penting, kata Kessler, lawatan itu sedang digunakan sama ada untuk memecahkan parti Pas atau menarik penyokongnya meninggalkan parti itu dan mengundi UMNO pada pilihan raya akan datang.Beliau berkata, berikutan keputusan tidak memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum 2008, UMNO menyedari ia perlu mendapat kembali kedudukan yang memperoleh sokongan masyarakat Islam Melayu.
Katanya, lawatan ke Gaza itu berbentuk 'kesucian' dalam politik dan seterusnya menjadikan UMNO lebih mengutamakan Melayu dan Islam.
Ditambah dengan penegasan menerusi pemerintahan beraja di negara ini, keadaan mungkin akan menampakkan Pas meminggirkan pakatan pembangkang dan menuju kepada UMNO.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130201/po_07/Pemecatan-bekas-Timbalan-Presiden-Pas-dapat-liputan-akhbar-asing#ixzz2JiJVISVA © Utusan Melayu (M) Bhd
Published with Blogger-droid v2.0.10
No comments:
Post a Comment
Anda memang mempunyai suara untuk memberi pandangan dengan tangungjawap anda sendiri.