Seramai 3,225 pekebun kecil getah di seluruh Sarawak akan menerima insentif khas sekali bayar RM500 seorang secara berperingkat mulai hari ini hingga selewat- lewatnya minggu pertama bulan depan.
Menurut Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Sarawak Wahid Marican, pengagihan peruntukan berjumlah lebih RM1.5 juta itu bertujuan meringankan beban golongan tersebut berikutan kejatuhan harga komoditi berkenaan di pasaran.
“Bayaran bantuan khas sekali gus ini akan disampaikan kepada kirakira 400 pekebun kecil di Samarahan esok (hari ini) kemudian di Sibu, Miri dan Betong menerusi majlis penyerahan, tetapi sekiranya mereka tidak dapat hadir, maka kita akan masukkan terus ke akaun bank,” katanya pada sidang media selepas perasmian Seminar Integriti RISDA Sarawak di sini, semalam.
Wahid memberitahu, 3,900 pekebun kecil getah dikenal pasti namun hanya 3,225 yang layak dalam pembayaran peringkat pertama kerana selebihnya memiliki tanah lebih daripada 2.5 hektar.
Menurutnya, pihak RISDA juga sedang menunggu senarai tambahan daripada Jabatan Pertanian dan Lembaga Getah Malaysia (LGM), dan akan mengenal pasti pekebun kecil yang layak menerima insentif itu.
“Pembayaran peringkat kedua akan dilakukan selepas kita mengenal pasti pekebun kecil yang layak daripada senarai pihak LGM dan Jabatan Pertanian nanti,” katanya.
Di seluruh Malaysia, seramai 320,000 pekebun kecil yang layak menerima bantuan khas RM500 itu, membabitkan nilai keseluruhan RM160 juta.
Dalam perkembangan lain, Wahid memberitahu RISDA meluluskan peruntukan RM90 juta kepada 3,900 pekebun kecil bagi Bantuan Tanaman Pekebun Kecil, membabitkan tanah seluas 6,700 hektar di negeri ini.
Pekebun kecil yang layak akan menerima RM13,500 dalam bentuk benih, baja serta tunai yang akan diagihkan secara berperingkat.
“Untuk kira-kira 4,000 hektar tanah membabitkan lebih 2,000 peserta, sebanyak RM24 juta akan dibayar tahun ini,” katanya.
Sehubungan itu, Wahid menekankan amalan integriti di kalangan kakitangan RISDA khasnya yang membuat pemantauan atau pemeriksaan awal dalam memberi kelulusan bantuan-bantuan ditawarkan.
“Mereka mungkin terdedah dengan perkara tidak sihat, contohnya kalau satu kebun itu sebenarnya tidak layak tetapi dilaporkan layak dan kita di pejabat tidak mungkin dapat pengesahan 100 peratus.
“Ini yang perlu kita tekankan iaitu ketelusan dalam bekerja,” katanya.
RISDA negeri yang ditubuhkan di Kuching pada 2008 mempunyai pejabat di Kota Samarahan, Saratok dan Miri.
Selain pejabat tersebut, RISDA turut mempunyai 11 stesen dengan 182 pegawai seluruh Sarawak iaitu di Lundu, Kota Samarahan, Sri Aman, Saratok, Betong, Sarikei, Mukah, Kapit, Sibu, Miri dan Limbang
Read more:
No comments:
Post a Comment
Anda memang mempunyai suara untuk memberi pandangan dengan tangungjawap anda sendiri.