Jadilah Pengikut Pecah Palak Mikir

Saturday 5 April 2014

Ketegasan Najib Razak kepada AirAsia Enggan Berpindah Ke KLIA 2


HANOI, 5 April (Bernama) -- Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia perlu berpindah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) seperti yang telah dijadualkan iaitu pada 9 Mei.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bagaimanapun kerajaan menerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersedia mendengar dan berbincang dengan mereka sekiranya terdapat sebarang masalah yang timbul berhubung perpindahan itu.

"Sebagai sebuah kerajaan kita perlu meneliti apa sebab kalau ada perkara yang mereka (AirAsia) fikir keberatan untuk berpindah tetapi yang saya mahu tekankan adalah dialog mereka dengan pihak kerajaan iaitu MAHB untuk mencari penyelesaian di atas kepentingan bersama.

"Kalau mereka buat kenyataan enggan berpindah, itu dilihat macam 'arrogant statement' (kenyataan berbaur angkuh) tapi kalau mereka kata mereka ada sebab dan mereka mahu berunding dengan kerajaan, saya fikir cara seperti itu adalah lebih sesuai lagi," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemain-pemain industri Malaysia dan Vietnam, di sini Sabtu.

Najib berada di sini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam yang berakhir hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung kenyataan syarikat penerbangan itu baru-baru ini yang enggan berpindah ke klia2 dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), ekoran kebimbangan terhadap tahap keselamatan dan operasi penerbangan di klia2.

Perdana Menteri berkata sepatutnya syarikat itu perlu mengemukakan sebarang kemusykilan dan masalah mereka tentang perpindahan itu pada peringkat awal dan bukannya pada peringkat yang mana KLIA2 sudah siap.

"Sekarang klia2 dah hampir siap, kita tidak boleh berpatah balik dan mereka (AirAsia) tidak boleh mengatakan 'kita tidak mahu berpindah' kerana mereka perlu berpindah ke sana," katanya.

Najib berkata kerajaan telah pun melantik jururunding bebas iaitu Ikram Premier Consulting untuk menilai tahap keselamatan klia2, dan apabila jururunding berkenaan telah membuat keputusan secara objektif, maka semua pihak perlu menerima.

-- BERNAMA

No comments:

Isu Terkini

get this widget here