Jadilah Pengikut Pecah Palak Mikir
Friday 16 May 2014
Pengundi #BukitGelugur perlu lihat sejarah perjuangan saya berpolitik Huan Cheng Guan @Huan2BG
MEMASUKI hari kedua berkempen, calon Parti Cinta Malaysia (PCM) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, Datuk Huan Cheng Guan semakin sibuk menyusun gerak kempen. Usahanya itu ibarat mendapat suntikan semangat baharu selepas sambutan yang diterima dalam kalangan pengundi disifatkan di luar jangkaan. Meskipun dibayangi hakikat kerusi Parlimen itu merupakan antara kubu kuat DAP, Cheng Guan sedikit pun tidak berasa tergugat kerana mempunyai misi lebih besar iaitu menyelesaikan sebanyak mungkin masalah rakyat. Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, Naib Presiden PCM ini berkongsi matlamat serta visinya dalam merampas kerusi berkenaan pada 25 Mei ini.
UTUSAN MALAYSIA: Bagaimana penerimaan pengundi setakat ini?
CHENG GUAN: Saya sebenarnya terkejut kerana sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Sebagai contoh pagi ini (semalam) saya berjumpa dengan orang ramai di pasar awam Air Itam. Mereka menerima kehadiran saya dengan baik. Malah, ramai yang memberikan galakan serta kata-kata positif untuk saya bertanding dalam PRK ini. Malah, saya juga terkejut kerana ada yang menawarkan untuk belanja saya makan dan minum menunjukkan mereka menyambut baik hasrat saya mahu menjadi wakil rakyat mereka. Saya terharu dengan perkembangan ini dan akan berusaha untuk bertemu seramai mungkin pengundi dalam tempoh berkempen ini memandangkan Parlimen ini agak luas.
Apa isu utama yang Datuk lihat boleh memberi kelebihan untuk diperjuangkan?
CHENG GUAN: Isu rumah kos rendah untuk golongan kurang berkemampuan sangat kritikal di negeri ini. Ketika ini, golongan itu yang merupakan majoriti di negeri ini tidak mempunyai pilihan untuk memiliki rumah sendiri terutama di kawasan bandar kerana kebanyakan projek perumahan baharu adalah berstatus mewah iaitu untuk hanya untuk golongan kaya dan warga asing. Begitu juga di kawasan-kawasan pinggir bandar yang kini lebih banyak dibangunkan dengan projek-projek perumahan mewah yang di luar kemampuan majoriti penduduk di negeri ini.
Ada yang beranggapan Datuk bermimpi di siang hari kerana mustahil dapat mengalahkan DAP.
CHENG GUAN: Ya, saya perlu menerima hakikat hanya keajaiban yang dapat membantu saya menang di sini. Perkara itu memang tidak dinafikan kerana dalam pilihan raya lalu, mendiang Karpal Singh menang dengan majoriti cukup besar iaitu lebih 41,000. Ini adalah majoriti kedua terbesar selepas Seputeh. Sebab itu saya selalu sebutkan jika saya dapat kembali deposit pilihan raya pun adalah sesuatu yang cukup baik bagi saya. Jika dapat kurangkan majoriti DAP pula bagi saya adalah satu bonus. Tetapi saya juga ada keyakinan perkara itu bukan mustahil dan saya akan berusaha sedaya upaya. Orang sepatutnya menilai keberanian saya bertanding di kawasan kubu kuat DAP ini. Saya orang Cina dan saya bertanding di kawasan yang majoritinya masyarakat Cina. Jadi, pengundi perlu melihat kepada perkara ini.
Adakah Datuk berasakan keputusan MCA tidak bertanding memberi kelebihan kepada Datuk?
CHENG GUAN: Terus terang saya katakan jika MCA meletakkan calon mereka saya akan berdepan kesukaran. Sudah semestinya adalah sukar untuk saya menentang calon MCA kerana parti saya ini hanyalah parti kecil. Sebab itu apabila MCA tidak bertanding, saya berasakan penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) akan melihat saya sebagai parti alternatif kerana mereka sememangnya tidak mahu kepada DAP. Tetapi itu bukanlah bererti saya ini proksi kepada BN.
Apa harapan terhadap pengundi?
CHENG GUAN: Pengundi di Bukit Gelugor perlu melihat kepada sejarah perjuangan saya dalam politik. Saya bukan baru mahu berjinak-jinak dalam dunia politik kerana sudah mempunyai pengalaman sebagai bekas Naib Presiden Gerakan dan Ahli Parlimen Batu Kawan antara 2004 hingga 2008. Malah, sewaktu saya tidak lagi menjadi Ahli Parlimen pun, saya tetap berkhidmat kepada rakyat menerusi PCM serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Centre for Political Awareness (Cpam). Masyarakat Cina sangat menyedari saya begitu agresif dalam berpolitik dan memperjuang nasib mereka bukan sahaja di negeri ini malah, di seluruh negara. Di media-media sosial juga saya cukup aktif membangkitkan pelbagai isu yang memerlukan perhatian baik oleh kerajaan mahupun pembangkang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment