CARA parti-parti politik dunia mengendalikan penguasaan politik mereka sudah berbeza, seiring dengan perkembangan semasa. Suatu ketika Barack Obama memiliki pasukan kempen digitalnya yang cekap dan berkesan sehingga membawa kemenangan besar dalam pilihan raya Presiden. Semua anggota kempen digitalnya bukan orang politik tetapi saintis. Ada antaranya saintis Matematik, statistik dan termodinamik.
Baru-baru ini, musuh parti Obama, Republikan berjaya menewaskan Demokrat dalam pilihan raya setelah mendatangkan team kempen digitalnya dari Lembah Silikon. Hal ini dibangkitkan Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam pertemuan beliau dengan penulis di bilik Menteri Komunikasi dan Multimedia itu di Parlimen Rabu lalu. Terdahulu dalam dewan, Ahmad Shabery baru sahaja ‘membasuh’ beberapa wakil pembangkang dalam isu membabitkan kementeriannya.
“Kemungkinan terdapat fenomena baru cara berkempen. Dulu, kita ada pemidato dan kerja-kerja berkempen kita sekarang pun dikaitkan dengan penceramah menemui mungkin antara 200 hingga 300 khalayak. Bukan saya kata cara berkempen ini tidak penting tetapi secara tradisionalnya itu yang berlaku sekarang. Namun dengan Facebook (FB), kita dengan mudah meraih antara 2,000 hingga 5,000 khalayak.
“Ia lengkap dengan pangkalan data komposisi Cina, Melayu dan India, tetapi perlukan saintis untuk menganalisisnya. Soalnya berapa saintis yang ada dalam parti?” soal Ahmad Shabery yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Beliau yang diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti untuk mengendalikan dua forum utama menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2014 iaitu Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional 2014 yang bermula esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), diikuti Forum Antarabangsa UMNO pada Ahad ini, yang kemuncaknya pagi Isnin dengan ucaptama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menarik perhatian penulis mengenai hyperconnectivity.
“Bila disebut hyperconnectivity, bermakna segala-segalanya berpandukan kepada digital iaitu Internet yang menyebabkan kita saling berhubung begitu banyak. Bercakap, berjalan dan sebagainya dikaitkan dengan hubungan Internet termasuklah dalam mengendalikan kerajaan dan berpolitik. Inilah yang menjadi cabaran UMNO dan cabaran dunia. Tema hyperconnectivity inilah yang menjadi topik perbahasan dalam kedua-dua forum ini,” kata beliau.
Apabila bercakap mengenai hyperconnectivity, Ahmad Shabery yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman menarik perhatian mengenai dua perkara.
“Pertama, apakah peluang-peluang yang dihasilkan daripadanya. Dari segi politik, parti akan mendapat maklumat yang cepat menerusi FB, Twitter, WhatsApp dan WeChat. Kalau hendak diatur pertemuan dengan khalayak, parti memerlukan dewan serta penyediaan pengangkutan. Satu pandangan akan dikongsi beribu-ribu pandangan. Tweet satu perkara, tarikan besar akan menyusul. Jika dulu, penyiaran dikaitkan dengan monopoli kerajaan, kini tidak lagi. Ini fenomena baharu, kalau tidak UMNO ketinggalan,” kata beliau.
Kedua, katanya, risiko yang akan dihadapi iaitu hasil hyperconnectivity tadi, parti akan melihat segala-galanya `bising’. Mereka (dalam laman sosial) `menjerit’ untuk meraih perhatian.
“Perkara kecil menjadi api yang marak...viral dan kalau ada yang menghina sesuatu kaum dan agama, ada menjadi emosi dan ini sukar dibendung. Risikonya cukup besar. Seluruh sistem organisasi kerajaan dan perbankan berisiko. Kalau sistem digodam, pelbagai jenayah siber berisiko melumpuhkan negara,” katanya.
Sebab itu, kata Ahmad Shabery, dua forum utama menjelang perhimpunan parti 25 hingga 29 November ini, harus membincangkan soal hyperconnectivity ini.
“Kalau boleh diimbas balik sebenarnya amalan ini telah berjalan pun. Apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad 17 tahun lalu mahu memperkenalkan MSC (Koridor Raya Multimedia), sebelum Bill Gates datang, beliau telah memanggil satu perhimpunan khas parti dulu untuk memaklumkan kepada ahli UMNO bahawa kita akan memasuki era ini yang akan menjadikan negara kita hyperconnected (yang dikaitkan dengan dasar kerajaan),” katanya.
Menurut Ahmad Shabery, cara berpolitik era digital juga sama seperti mana diamalkan dalam dunia perniagaan. Waktu ini, berniaga dengan cara buka kedai dan menanti pelanggan datang. Tetapi waktu ini juga dan ada yang telah pun mempraktikkannya - berniaga cara online.
“Misalnya antara Julai hingga Ogos, paten bagaimana baju yang menarik minat orang muda untuk membeli, September dan Oktober macam mana. Daripada penggunaan kad kredit, boleh dicam kasut yang bagaimana diminati serta trend warnanya,” katanya.
Dalam hal ini, kata Ahmad Shabery, ada beberapa isu yang memenuhi pandangan orang ramai terhadap UMNO. Misalnya, kalau UMNO dogmatik tentang Akta Hasutan, apakah ia memenuhi aspirasi masyarakat umum? Berdasarkan apa?
“Dalam aspek ini, UMNO perlu mendapat maklum balas data. Kalau itu diperoleh, tidak perlu lakukan soal selidik dari bawah. Orang bercakap dalam FB, ia boleh disedut dengan data, tidak perlu ambil sampel 600 orang atau 1,000 orang,” katanya.
Dalam politik demikian juga. “Apakah perlu kita mengubah struktur dalam UMNO iaitu perlukan satu pasukan siber yang berwibawa? Dengan kempen cara digital ini, apakah perlu lagi poster-poster (calon pilihan raya) dicetak sebanyak-banyaknya? Adakah perlu lagi bangsal-bangsal panas? Adakah ini masih relevan, cara tradisional yang sudah ketinggalan?” soalnya.
Tegas Ahmad Shabery, kalau UMNO tidak bercakap atau mengambil berat isu paten digital ini sekarang, kelak UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN) akan terus kekal dengan cara berpolitik lama di kala pembangkang khususnya DAP dan PKR terus menongkah arus mahir, bahkan pakar dalam aspek kempen digital tersebut.
“Mungkin Perhimpunan UMNO kali ini kita nak perwakilan `menghargai’ dulu peranan hyperconnectivity ini dan memupuk kesedarannya. Kalau kita tengok trend sekarang, orang menonton CNN, tetapi bukan melalui televisyen sebaliknya i-Phone. Orang baca Utusan Malaysia dan Berita Harian tetapi tidak membelinya. Cara orang akses dua akhbar ini berbeza. Dan UMNO boleh mengambil perhatian serius perkara ini,” katanya
- See more at:
No comments:
Post a Comment