Jadilah Pengikut Pecah Palak Mikir

Friday, 21 November 2014

Defisit RM60 Juta Angkara Kerajaan Pakatan Bukan Masalah Besar - @MukhrizMahathir


Kerajaan Kedah tidak melihat defisit kira-kira RM60 juta dalam Bajet Negeri 2015 yang dibentangkan pada Isnin lepas sebagai masalah kepada kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata defisit itu adalah yang terbesar dalam sejarah kewangan negeri Kedah tetapi ia dirangka sedemikian untuk memastikan wang negeri dibelanjakan untuk rakyat seperti pendidikan, kebajikan dan keusahawanan.

Katanya, Bajet 2015 adalah bersifat jangka panjang dan kerajaan negeri tidak melihatnya sebagai perancangan untuk tempoh setahun.

"Itu pendekatan yang kita ambil. Selalunya kita lihat bajet untuk tahunan, hanya untuk setahun, tidak banyak untuk 10, 20 tahun akan datang. Ini semua untuk masa depan yang lebih cerah.

"Langkah ini untuk menyelesaikan masalah yang biasa timbul kerana rancangan untuk jangka pendek. Kita perlu rancangan jangka panjang. Banyak masalah boleh diatasi jika perancangan bersifat jangka panjang," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Peruntukan Tahun 2015 dan Ucapan Bajet Negeri Kedah 2015 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Mukhriz juga berkata, defisit dalam bajet itu lebih mudah dikurangkan jika kerajaan negeri tidak dibebani dengan hutang RM45 juta setahun untuk membayar pinjaman bank bagi pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil oleh kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini.

Katanya, kerajaan negeri menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi supaya ia dapat dibahagi secara adil kepada rakyat kerana agihan tidak boleh berlaku tanpa pertumbuhan.

"Pada peringkat ini, fokus kepada pertumbuhan. Jika tidak, tidak dapat meringankan beban rakyat miskin, berpendapatan rendah. Cabaran sekarang ialah bagaimana untuk menjana pertumbuhan," katanya.

Beliau juga berkata, Kedah berhadapan dengan cabaran besar dalam pertumbuhan ekonomi berikutan sejak dulu ia digelar Negeri Jelapang Padi yang menumpukan kepada sektor pertanian.

"Jika bergantung kepada pertumbuhan dalam bentuk organik dan anggapan ekonomi tumbuh secara organik, walaupun KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara 5.6 peratus, jika Kedah juga 5.6 peratus, sampai bila-bila pun kita ketinggalan berbanding negeri lain.

"(Kita) tidak boleh menjalankan perniagaan seperti biasa. Perlu melonjak dengan mengejar negeri lain...kita lihat kepada projek pemangkin jika Kedah berhasrat menjadi negeri maju dan perlu tumbuh lebih pesat daripada negeri lain," katanya.

Katanya, sudah ada pihak swasta yang berminat untuk terlibat secara langsung dalam enam projek utama yang diumumkan dalam Bajet 2015 untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 walaupun baru pada peringkat perancangan.

"Ini bukti keyakinan terhadap kebolehlaksanaan projek ini. Perlu bersikap positif. Jangan anggap semuanya angan-angan Mat Jenin. Kejayaan projek ini membawa kebaikan kepada semua," katanya.

Dalam soal perumahan, Mukhriz berkata kenaikan harga rumah sudah sampai ke tahap tidak mampu dibeli oleh rakyat dan pemantauan perlu dilakukan supaya ia tidak mencapai tahap harga yang tidak munasabah. - BERNAMA

No comments:

Isu Terkini

get this widget here