TATKALA melihat video yang dipaparkan sebuah portal tentang tindakan seorang pak menteri yang agak 'berang' dan enggan melayan soalan media propembangkang, penulis teringat pengalaman lepas melihat kawan-kawan dari media arus perdana dihentam teruk di majlis-majlis anjuran pembangkang.
Senario dan caranya mungkin berbeza tapi persoalannya di mana kebebasan media yang dicanang selama ini?
Sebagai pengamal media, penulis merasa malu melihat mereka yang berstatus pemimpin tetapi menggunakan pendekatan seumpama ini untuk menangkis soalan wartawan yang sedang menjalankan tugas.
Wartawan-wartawan yang sedang mencari rezeki ini digelar 'kaki pusing', 'perkakas Umno' dan macam-macam lagi bergantung di mana agensi berita mereka bekerja.
Tidak dinafikan, sesetengah media tertakluk kepada "boss" atau tempat mereka makan gaji dalam menghasilkan berita mereka atau berhadapan dengan situasi penat sahaja tulis berita tetapi akhirnya, tak disiarkan!
Tetapi di Sinar Harian, Insya-ALLAH, penulis bukanlah lama sangat bekerja di sini, namun inilah mediumnya di mana kerajaan, pembangkang dan rakyat diberi ruang seadil-adilnya untuk berekspresi, pada hemat penulis.
Atas dasar itu, penulis rasa ada keberanian untuk mengkritik mentaliti sesetengah pemimpin parti politik di negara ini, yang ada ketikanya langsung tidak mahu memberikan kerjasama kepada wartawan yang sedang bertugas.
Pada fikiran penulis yang masih mentah ini, orang yang ditanya punya pilihan untuk "langsung tidak menjawab" daripada bertindak memperkecilkan mereka yang bertanya atau menjadikannya "bahan" jenaka dalam sesebuah acara.
Tidak manis langsung rasanya, mereka yang terkenal dengan ketinggian peribadi tetapi kalah dan latah dengan soalan wartawan - hanya orang biasa berbanding mereka.
Tetapi apabila wartawan ini datangnya daripada agensi yang membawa keuntungan kepada mereka, wartawan-wartawan ini dilayan bagaikan raja.
Dari jauh mereka sudah senyum kalau selalu "cover" mereka.
Entah mengapa apabila melihat video Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terdetik dalam hati penulis untuk berkongsi sekelumit pengalaman dan harapan tentang kehidupan kami sebagai wartawan.
Dalam kes ini, bukan penulis mahu bela Zahid Hamidi atau memperlekehkan wartawan Malaysiakini, yang sama bidang tugasnya seperti penulis, - tetapi, inilah yang orang kata "bila buku bertemu ruas".
"Buku bertemu ruas" yang penulis guna ini dalam konteks, bagaimana selama ini melihat media-media seperti Utusan Malaysia, TV3 berhadapan situasi sama, dihentam teruk di sidang-sidang media anjuran pembangkang.
Penulis pilih dua media ini kerana pada hemat penulis, memang berat membawa nama syarikat ini apabila ke majlis-majlis anjuran pembangkang.
Macam-macam boleh berlaku.
Dialog Zahid Hamidi "you always spin... u bagus tapi u punya boss u tak bagus..." bukanlah dialog janggal atau asing.
Bukan penulis tidak pernah mendengar wartawan Utusan Malaysia, TV3 "dikenakan" lebih teruk daripada itu.
Sekali lagi, bukan niat mahu bela wartawan Utusan Malaysia atau TV3, - yang penulis akui kehadiran mereka di sidang-sidang media pembangkang untuk mencari kesilapan pemimpin ini atau membawa jerangkap samar, tetapi tidak wajarlah mereka diaibkan di hadapan rakan-rakan media yang lain.
Saya faham rasanya, bila soalan yang kita ajukan tiba-tiba dijawab dengan kata-kata sinis atau soalan kita dibalas dengan kenyataan berbaur ancaman.
Penulis juga pernah berhadapan dengan situasi ini dan melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana rakan-rakan media lain dihidangkan dengan layanan seumpama ini.
Rasanya ramai rakan media di luar sana "alah biasa tegal biasa" dengan situasi ini.
Dulu popular seketika petikan kenyataan pemimpin "u ulang I saman u" yang bunyinya seolah-olah berbentuk amaran kepada pengamal media.
Macam-macam lagi sebenarnya layanan yang kami pihak media terima daripada pemimpin masyarakat, orang kenamaan, ilmuan agama dan banyak lagi. Katakan sahaja siapa... yang lebih lama dalam bidang ini, tentu pelbagai ragam manusia dilayaninya.
Apa yang penulis suarakan ini, hanya sebahagian kecil cabaran kami sebagai wartawan politik yang menjalankan tugas mencari berita untuk santapan pembaca budiman yang akhirnya membuat penilaian menerusi paparan kami.
Akhir kalam, kepada mereka yang terbabit, renung dalam-dalam bahawa kami wartawan juga manusia biasa... yang mahu dilayan baik walau kita bukan kawan atau lawan.
Ditulis oleh wartawan sinar harian