Sungguh biadap dan dahsyatnya perasik islam yang setuju khalimah diguna pakai gereja, telah memekak dan melalak memaki hamun khutbah yang disampaikan oleh khatib di mimbar hari Jumaat 30 Syawal 1434 bersamaan dengan 06 Sept 2013. Mereka mempercepatkan lagi proses untuk ALLAH melaknat mereka, na'uzubillah. Semoga ALLAH memberikan petunjuk dan hidayah kepada mereka ini!
Khutbah yang disampaikan empat hari sebelum pendengaran rayuan kes kalimah ALLAH di Mahkamah Rayuan Malaysia pada 10 Sept 2013 memang akan memanaskan punggong para pengkhianat Islam. Inilah yang digambarkan melalui
pengalaman yang diceritakan dipautan ini. dan kenapa mereka bergitu marah lihat sendiri text khutbah dibawah.
Teks khutbah JAKIM - 6 SEPTEMBER 2013/ 30 SYAWAL 1434H*
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “MEMPERTAHANKAN AKIDAH UMMAH”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Dalam Islam Allah adalah zat yang mencipta alam ini. Sebagai pencipta alam, maka Allah memiliki kesempurnaan sifatnya, ia tidak terikat dengan sebarang batasan, tidak terbatas tinggi rendah-Nya, tidak terbatas kekuasaan-Nya, tidak terbatas ruang waktunya dan segala-galanya tidak terbatas. Oleh itu, sebagai umat Islam kita wajib menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT. Ini merupakan syarat mutlak sahnya kepercayaan kita terhadap adanya tuhan dalam Islam selain mengarah kepada mengesakan Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya.”
Menurut Imam Ibnu Kathir seorang ulama tafsir yang terkenal bahawa sebab turunnya ayat ini ialah ketika orang Yahudi mengatakan “Kami menyembah Uzair anak Allah”. Orang Nasrani mengatakan “Kami menyembah al-Masih anak Allah”. Orang Majusi pula mengatakan “Kami menyembah matahari dan bulan” dan orang Musyrikin pula mengatakan “Kami menyembah berhala”. Maka Allah SWT menurunkan ayat ini sebagai penjelasan bagi menangkis dakwaan yang salah tentang hakikat tuhan yang sebenarnya.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan, sesuatu yang gah namanya dan teguh kedudukkannya akan senantiasa dilanda ancaman dan percubaan untuk mengugat keagungannya. Demikianlah kedudukan agama Islam dan umatnya pada hari ini, diancam dari segenap sudut samada dari segi sosial, syariah dan akidah termasuklah isu penggunaan kalimah Allah SWT. Mereka ini melakukan pelbagai usaha bagi menimbulkan kekeliruan sehingga menimbulkan pandangan dan pentafsiran yang salah tentang agama Islam dan Allah itu sendiri. Lebih malang lagi mereka sanggup mempertikaikannya sehingga membawa isu ini ke mahkamah.
Sekali lagi mimbar yang mulia ini ingin menegaskan bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 telah membahaskan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukkan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ingatlah, kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Sebagai umat Islam yang beriman kita perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam. Contohnya, adakah kita sanggup mendengar golongan bukan Islam memanggil gereja, rumah ibadat dan rumah berhala mereka sebagai rumah Allah?, memanggil tuhan dan berhala mereka sebagai Allah?. Bayangkan pula, apakah akidah generasi muda Islam jika fenomena ini berlaku di negara kita?. Sudah pastilah ramai yang akan keliru, terpesong dan berlakulah lautan murtad yang sedahsyat-dahsyatnya.
Oleh itu, mimbar menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang melibatkan dasar akidah dan tauhid disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama mereka menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama. Perkataan Allah, solat, tauhid, Rasul, Kaabah ,Haji merupakan hak orang Islam yang tidak boleh di cerobohi oleh mana mana pihak kerana ianya akan memberi kesan kepada pemikiran dan akidah umat Islam.
Ingatlah bahawa semua gejala keruntuhan akidah ini sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat umat Islam sendiri. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 72:
Bermaksud:“Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil!. Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.”
Persoalan besar timbul di sini adakah kita redha untuk menyatakan bahawa Allah SWT itu merupakan salah satu daripada tiga tuhan?. Sudah pasti kita sebagai umat Islam tidak redha malah yakin bahawasanya Allah SWT itu Maha Esa. Ketahuilah bahawa kalimah Allah adalah nama khas bagi tuhan yang Maha Esa. Oleh sebab itu, tidak boleh menterjemahkan perkataan God dalam bahasa Inggeris kepada kalimah Allah.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Syirik adalah perbuatan menyamakan atau menyekutukan Allah SWT dengan makhluk dalam apa jua bentuk sama ada perkataan, kepercayaan, perbuatan dan iktikad. Para ulama membahagikan syirik kepada dua kategori iaitu syirik akbar (besar) dan syirikasghar (kecil). Syirik besar seperti menyekutukan Allah SWT secara terang-terangan termasuk menyembah sesuatu selain Allah atau menyamakan kuasa Allah dengan makhluk. Manakala syirik kecil seperti riak, beramal untuk manusia, perasaan dengki, mengharap reda manusia dan sebagainya.
Apa yang sangat mendukacitakan kita lagi ialah ada segelintir orang Islam yang langsung tidak sensitif berkaitan perkara ini, malah menganggap ini adalah hanya isu kecil serta sanggup mencadangkan supaya pengunaan kalimah-kalimah Islam termasuk kalimah Allah SWT dibenarkan penggunaannya oleh orang yang bukan Islam. Inilah contoh perbuatan mereka yang mengkhianati agama Islam dan meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan agama Islam. Mimbar amat bimbang cadangan tersebut boleh terjerumus dalam perbuatan syirik. Tiada faedah seseorang itu beribadah siang dan malam, jika imannya rosak dan dipengaruhi oleh unsur-unsur syirik, perbuatan syirik hanya akan menghalang seseorang mukmin dari mendapat keredaan dan syurga Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 72:
Maksudnya: “Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.”
Ayat ini menjelaskan bahawa mereka yang melakukan syirik adalah berdosa besar dan tidak diampunkan oleh Allah SWT dan tempat mereka di akhirat nanti adalah di neraka.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sebagaimana yang diketahui umum bahawa isu kalimah Allah akan didengar sekali lagi di Mahkamah Rayuan pada 10 September ini. Justeru, sebagai umat Islam marilah sama-sama kita menolak apa jua usaha yang mencabar hak-hak kita sebagai umat Islam. Percayalah bahawa Allah SWT menyatukan kita semua pada hari ini di dalam saf-saf dan seterusnya kita akan menunaikan solat di atas satu akidah, di atas satu takbir, dan di atas satu salam, perkataan, ungkapan dan bacaan yang sama. Justeru, marilah bersama-sama kita bersatu hati mempertahankan kebenaran, rapatkan barisan, meneguhkan kekuatan dan persediaan, menggerakkan segala usaha dengan penuh keberanian demi agama yang tercinta ini.
Mimbar juga mengesa pihak yang berwajib agar mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mereka yang cuba memporak-perandakan pegangan dan akidah umat Islam. Perjuangan bagi mempertahankan kalimah suci Allah dan menegakkan agama Allah serta hak-hak eksklusif umat Islam merupakan perjuangan yang suci yang dijamin mendapat pertolongan serta bantuan daripada Allah SWT.
Menjadi tanggungjawab mimbar menyeru semua pihak, marilah sama-sama kita mempertahankan dan memantap akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara dengan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang berkaitan akidah, menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Percayalah mempertahankan kesucian Islam dengan tidak membenarkan pihak lain menghinanya adalah sesuatu yang di tuntut.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 65:
Maksudnya: “Dan sesungguhnya telah diwahikan kepadamu dan Nabi-nabi sebelummu: Sesungguhnya! Jika engkau mempersekutukan Allah tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang yang rugi”.
* Terimakasih kepada sahabat saya Tuan Haji Abdul Karim Omar yang telah memberikan link laman ini serta menyiarkan teks penuh khutbah ini di laman sesawang beliau di www.akarimomar.wordpress.com. Sila layari laman sesawang beliau untuk kupasan dan pendedahan lebih banyak isu-isu berkaitan gerakan kristianisasi dan isu aqidah.