Jadilah Pengikut Pecah Palak Mikir

Monday, 4 June 2012

Ambil perhatian pengguna Internet! Anda Mungkin Meresikokan Diri Sendiri!

Ambil perhatian pengguna Internet! 

Baru-baru ini, warga Internet di Malaysia ‘memberontak’ akibat pindaan ke atas Akta Keterangan 1950. Pindaan ini diluluskan Dewan Rakyat pada April dan Dewan Negara pada awal Mei lalu, tetapi belum berkuatkuasakan lagi. Warga Internet marah kerana pada mereka pindaan ini adalah suatu serangan ke atas kebebasan mereka di ruang siber.

Di sini terdapat sedikit kekeliruan mengenai apa sebenarnya yang diperkenalkan pindaan ini. Harus diingat, ia tidak mewujudkan apa-apa kesalahan baru. Pindaan itu adalah meminda peraturan keterangan dan pembuktian (rules of evidence).

Akta Keterangan memperuntukkan peraturan dalam memberi keterangan dan juga pembuktian ketika perbicaraan, tidak kira sivil ataupun jenayah. Secara umumnya, pihak yang mengatakan kewujudan sesuatu fakta itu harus membuktikan fakta yang dikatakan wujud.

Namun, terdapat beberapa tanggapan atau dalam BI, presumptions yang boleh diguna pakai. Tanggapan dalam keterangan adalah peraturan undang-undang yang mana pembuktian sesuatu fakta (dikenali sebagai fakta asas), fakta berkait dianggap telah dibuktikan. Contohnya, Mahkamah boleh menganggap keesahan sesuatu Warta Kerajaan. Ataupun menganggap sesuatu tindakan kehakiman (judicial act) adalah teratur dan tidak perlu dibuktikan bahawa tindakan tersebut sememangnya mengikut prosedur.

Peruntukan tanggapan boleh disangkal dengan bukti sebaliknya. Pindaan yang dibuat mewujudkan tiga peruntukan tanggapan baru. Pertama dalam sebuah penyiaran, jika ada tertera nama atau gambar yang menggambarkan seseorang itu sebagai pemilik, hos, pentadbir atau penyunting penyiaran tersebut, maka orang itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran tersebut.

Kedua, jika terdapat penyiaran yang dibuatdaripada sesuatu perkhidmatan rangkaian Internet, orang yang melanggan perkhidmatan itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran. Ketiga, jika terdapat penyiaran yang dibuat daripada sesuatu komputer yang dimiliki atau dijaga oleh seseorang, orang itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran.

Contohnya, jika terdapat sesuatu posting di laman Facebook yang dikatakan menghasut dan ianya dibuat atas nama eseorang itu, ataupun menggunakan rangkaian yang dilanggan olehnya ataupun menggunakan komputernya, maka orang itu dianggap sebagai pembuat posting tersebut.

Orang yang dituduh itu boleh menyangkal tanggapan itu, tetapi kini beban pembuktian bertukar kepada yang dituduh untuk membuktikan sebaliknya. Walaupun pindaan ini akan berkuat kuasa ke atas perbicaraan sivil dan jenayah, mengikut hansard persidangan di Dewan Rakyat, tujuan utama ia diperkenalkan adalah untuk mempermudah pendakwaan di dalam kes jenayah. Menurut hansard, ia untuk meringankan beban pembuktian pihak pendakwaan oleh kerana ia kesukaran dalam pembuktian untuk kes melibatkan Internet.

Ini bukan sesuatu alasan yang boleh kita terima. Menggunakan metafora perlawanan bola sepak, pindaan ini menukar peraturan kerana satu pasukan sukar menjaringkan gol. Pindaan ini akan lebih membawa keburukan daripada kebaikan. Ambil contoh mudah; katakan anda lupa logout akaun Twitter yang anda guna di komputer pejabat. Kemudiannya, orang lain menggunakan akaun anda untuk berkicau sesuatu yang berunsur fitnah.

Bolehkah anda kemukakan bukti bahawa pada ketika itu, anda tidak menggunakan internet dan tidak mungkin membuat kicauan tersebut? Bolehkah anda ingat dengan terperinci bila anda menggunakan Internet untuk menyangkal tanggapan itu? Sukar sekali. Pihak pendakwaan mempunyai kekuatan jentera kerja untuk membantu mereka.

Siasatan boleh dijalankan sehinggakan butiran terperinci mana-mana pengguna Internet. Tertuduh pula hanya mempunyai undang-undang keterangan dan pembuktian, yang diperincikan melalui tradisi undang-undang ekian lama bagi melindungi haknya untuk dibicarakan dengan adil. Malangnya, pindaan ini akan melucutkan perlindungan ini atas alasan esukaran mendakwa. 


***Penulis adalah seorang peguam muda mengamalkan undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Sumber

No comments:

Isu Terkini

get this widget here