Ahli politik terutama kalangan pembangkang diingat supaya berhenti bercakap tentang pasukan keselamatan dan aset pertahanan negara demi populariti apatah lagi tanpa mengetahui fakta sebenar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan mempertikaikan kemampuan serta kesiapsiagaan pasukan keselamatan merupakan amalan yang tidak wajar kerana isu tersebut langsung tidak boleh dipolemikkan.
Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya berlaku dalam kalangan ahli politik negara ini tetapi tidak berlaku di luar negara yang ahli politiknya amat menghormati institusi keselamatan negara masing-masing.
"Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan dan pertahanan dan saya tak nampak ahli politik di negara luar yang mempertikai kemampuan, kesiapsiagaan anggota polis dan tentera.
"Di negara kita sahaja berlaku perkara ini. Jadi semak fakta dulu sebelum berbicara isu keselamatan kerana akhirnya tindakan itu menempelak diri sendiri dan diketawakan oleh para pegawai yang mengetahui fakta berkenaan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO diminta mengulas tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyangkal kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar kononnya bilangan anggota polis di negara ini sudah mencukupi.
Selain mengemukakan fakta salah kononnya statistik bagi setiap anggota polis dan penduduk adalah 1:270, Nurul Izzah turut berjanji untuk membekukan pengambilan anggota polis jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum nanti.
Pada 2010, Ahmad Zahid pernah menempelak Nurul Izzah kerana anak Ketua Pembangkang itu dalam satu temu bual dengan akhbar Indonesia mendakwa kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman tidak boleh menyelam, selain merupakan aset terpakai dan usang.
Ahmad Zahid menambah, Nurul Izzah sepatutnya menghormati dan menyerahkan soal keselamatan serta pertahanan kepada golongan profesional yang berkecimpung dalam bidang itu.
"Sektor keselamatan dan pertahanan janganlah disentuh. Biar profesional polis dan tentera menjalankan tugas mereka. Walaupun tidak menghormati mereka, hargailah dan berikan sepenuh kepercayaan kepada polis dan tentera untuk menjaga hal mereka," katanya.
Dalam perkembangan lain, kata beliau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengenal pasti lima pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) yang kini diperhalusi Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan untuk menggantikan MiG-29N dalam inventori Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
"Keputusan muktamad akan dibuat dan ia bergantung pada situasi yang sesuai untuk diumum," katanya.
Artikel Penuh: Utusan Melaysia
No comments:
Post a Comment