Jadilah Pengikut Pecah Palak Mikir

Monday 5 May 2014

Sudahlah #Hudud 2 Dekad PAS Dibutakan DAP Tetapi Masih Juga Mahu Pekak Tulikan



Sebaik selesai berbincang dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob mengenai hudud minggu lalu, pemimpin DAP yang hadir memberi amaran. Ada yang berkata isu itu boleh menggugat kedudukan PAS dalam pakatan pembangkang, malah ada yang menyarankan PAS keluar. Yang lain terus menyerang.

Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai menganggap PAS ‘bermimpi di siang hari,’ manakala Gobind Singh bertegas akan meneruskan legasi bapanya, Karpal Singh menentang hudud. Lim Guan Eng pula menempelak Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa kepemimpinan pakatan sudah capai kesepakatan berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan. Tegasnya, Presiden PAS tidak bercakap benar.



DAP menganggap PAS bagai lalang – kejap mahu hudud, kejap ketepi, sekarang nak pula. Guan Eng menganggap isu hudud adalah ‘perangkap UMNO,’ justeru mahu PAS tumpu memperjuangkan ‘negara berkebajikan,’ bukan ‘negara Islam’ dengan hududnya. Dia tahu tindakan PAS itu menjejaskan sokongan pengundi kepada pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, terutama di kawasan bukan Melayu. Bapanya, Lim Kit Siang meramalkan pakatan mungkin kehilangan 20 peratus undi bukan Melayu jika PAS meneruskan tindakannya.




PKR lebih berpihak kepada DAP. Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa persetujuan beliau dan pemimpin DAP. Katanya, hudud bukan agenda pembangkang.

Ahmad dan timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah nampak bertegas, tetapi ada pemimpin PAS yang masih mengharapkan sokongan DAP walaupun penentangannya cukup jelas, konsisten dan muktamad. Mereka bernostalgia mengharapkan DAP akan faham dan akhirnya yakin dengan keadilan dan kebaikan hudud.

Soalnya, berapa lama masa PAS perlu untuk memahamkan DAP? Dua puluh tahun tak cukup? Atau memang PAS gagal? Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengakui dua dekad berkawan dengan DAP tapi tidak sempat memberi penjelasan mengenai hudud kepada Karpal Singh. Nasi sudah jadi bubur, menyesal pun tidak berguna. Masa yang ada diguna untuk berpolitik semata-mata, manakala elemen dakwah sangat kurang. DAP tetap dengan sikap rasis-cauvinis, prinsip negara sekular dan konsep Malaysian Malaysia.

Hudud isu pilihan raya


Lagipun, sejarah menunjukkan PAS ungkit isu hudud hanya apabila menjelang pilihan raya atau apabila sokongan menurun. PAS tidak konsisten dalam soal ini. Pentadbiran dan pelaksanaan hukum Islam ketika PAS memerintah Terengganu (1999-2004) tidak sama dengan kerajaan PAS Kelantan.

Apabila memang di Kedah pada tahun 2008, kerajaan PAS tidak bersedia meluluskan enakmen untuk melaksanakan hudud di negeri itu, manakala PAS Selangor sudah buat ketetapan tidak mahu laksana hudud. Ramai pengundi Melayu-Islam kecewa PAS mengkhianati perjuangan sendiri ekoran tahaluf siyasi dengan DAP. Akibatnya, PAS kalah di banyak kawasan majoriti Melayu terutama di luar bandar pada pilihan raya lalu. Mutakhir tindakan PAS dilihat sebagai langkah terdesak untuk mengembalikan sokongan orang Melayu-Islam dalam pilihan raya akan datang.


Cuba pengaruhi ahli BN bukan Islam

Ahli Parlimen DAP, (38 orang) sedang mempengaruhi 46 Ahli Parlimen BN bukan Islam untuk menyekat hasrat PAS. Namun, berdasarkan bilangan Ahli Parlimen Islam di Dewan Rakyat (PAS 21, PKR 16, BN 97), rang undang-undang hudud boleh diluluskan dengan majoriti mudah.

Pun begitu, matlamat melaksanakan hudud di Kelantan pada Januari tahun 2015 berdepan jalan sukar. Kemungkinan besar PAS diseret ke mahkamah dan boleh memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan. Ia dijangka membawa impak besar terhadap pakatan dan BN.

Jika PAS tidak tertekan keluar pakatan, mungkin DAP dan PKR yang akan keluar tinggalkan PAS. UMNO pula terpaksa berdepan dengan parti komponen yang menentang pelaksanaan hudud yang menganggap melanggar Perlembagaan Persekutuan dan boleh menimbulkan konflik dalam masyarakat pelbagai kaum negara ini.

Penubuhan jawatankuasa teknikal peringkat kebangsaan juga bermakna masih banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum hudud menjadi realiti di Kelantan. Banyak persoalan dibangkitkan orang ramai perlukan penjelasan.

Misalnya, bagi orang Islam dan bukan Islam yang bersabit kesalahan yang sama, undang-undang mana dipakai - sivil atau hudud? Adakah gadis bukan Islam dirogol lelaki Muslim perlu sediakan empat saksi juga? Jika tiada saksi, adakah perogol itu terlepas?

Bolehkah hudud dikenakan ke atas Muslimin dari negeri lain yang melakukan jenayah di Kelantan tapi lari ke negeri lain? Jika mencuri 20 tin sardin bolehkan dihukum potong tangan? Bagaimana dengan pencuri jutaan ringgit menggunakan internet? Apakah hukum hudud juga dikenakan kepada penjenayah kolar putih?

Pendek kata, PAS kena buat sesi penerangan secara meluas, intensif dan berterusan. Bukan kepada pemimpin politik sahaja, lebih penting kepada rakyat jelata – yang beragama Islam dan bukan Islam – sehingga rakyat puas hati dan boleh menerima.

Jika Dewan Himpunan Penyokong PAS tolak hudud, apa lagi pihak di luar PAS. Ini agenda PAS, jadi ia tidak boleh lepaskan tanggungjawab kepada pihak lain. Kalau boleh, buat ceramah merata tempat di seluruh negara setiap malam pada musim pilihan raya, takkan tak boleh untuk menjelaskan hudud. Ini lebih mendesak dan penting daripada ceramah pasal GST atau ceramah kutuk orang lain tidak tentu pasal.




Kredit to BritaHarian - Tajuk & Sumber Asal
Dua dekad belum cukup yakinkan DAP sokong hudud

No comments:

Isu Terkini

get this widget here