Jadilah Pengikut Pecah Palak Mikir

Wednesday 8 April 2015

Kekal Akta Hasutan Bendung Provokasi Melampau - Nancy Shukri

Kebimbangan pelbagai pihak terhadap perbuatan provokasi yang semakin melampau menjadi antara sebab kerajaan membuat 'pusingan u' terhadap Akta Hasutan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Nancy berkata dalam tempoh akta tersebut sepatutnya dimansuhkan sebelum ini, beliau didatangi pelbagai pihak termasuk intelektual dan profesional daripada pelbagai kaum yang mahu akta itu dikekalkan demi menjaga keharmonian negara.

"Mereka ini bimbang provokasi terhadap institusi raja, agama, bangsa dan bahasa menjadi sesuatu yang begitu biasa di negara ini apatah lagi melalui media sosial.

"Jadi mereka luahkan kebimbangan itu kerana amat risau akan terjadi pelbagai ketegangan apabila ada pihak yang menghina agama atau bangsa mereka, " katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Namun, kata Nancy, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memastikan akta tersebut dikekalkan, tetapi kemudian lega apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya mengambil keputusan mengekalkannya dengan beberapa pindaan.

Rang Undang-undang Hasutan (Pindaan) 2015 dibentangkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini walaupun sebelum ini bercadang untuk memansuhkan akta berkenaan.

Menurut kertas rang undang-undang itu, keputusan meminda akta berkenaan didorong perkembangan politik semasa, termasuk lontaran komen, penyebaran maklumat dan penerbitan yang dikhuatiri memudaratkan keharmonian negara.

Pindaan mengandungi penambahan -langkah dan hukuman yang diperkukuh bagi menangani ancaman terhadap keamanan, ketenteraman dan keselamatan di negara.

Bagaimanapun, Nancy yang juga anggota Parlimen Batang Sadong, berharap pihak yang mempunyai kuasa supaya seboleh mungkin mengelak menggunakan akta itu.

"Saya yakin kerajaan juga tidak mahu sewenang-wenangnya menggunakan akta ini, tetapi saya berpendapat ia patut 'disimpan' kerana supaya jika terjadi hal-hal membabitkan provokasi tidak terkawal, kita ada tempat untuk merujuknya," katanya.

No comments:

Isu Terkini

get this widget here