Jadilah Pengikut Pecah Palak Mikir

Saturday 8 December 2012

Kekuatan UMNO Yang Menyakitkan Hati Nik Aziz PAS

Sepanjang perhimpunan Agung Umno minggu lalu, tema Melayu-Islam menunjang hujah dan semangat setiap pemimpin dan perwakilan. Dalam ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan komitmen Umno untuk terus mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, akal, maruah dan keturunan.

Ini diperteguh pada ikrar yang disemadi semua ahli Umno. Mereka telah bersumpah: Dengan nama ALLAH, selagi darah masih mengalir, selagi hayat dikandung badan, agama suci Islam pasti kita daulatkan, bangsa Melayu pasti kita perjuangkan, rakyat Malaysia pasti kita makmurkan, negara tercinta pasti kita pertahankan.

Dalam doa yang menusuk jiwa, Najib memohon: Ya ALLAH, tolonglah kami memelihara agama Islam, membela bangsa Melayu dan bangsa lain… Berilah kemenangan kepada kami demi agama Islam, bangsa dan negara.

Tradisi dan prinsip menyatupadu dan memajukan umat serta mendaulatkan Islam adalah asas perjuangan Umno, walaupun dituduh sebaliknya oleh pembangkang. Dalam Perlembagaan parti, Umno mendukung perjuangan menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam selain mengekalkan maruah dan martabat bangsa, bahasa dan Raja-Raja Melayu, serta semua warganegara.

Menurut intelek dan pengkaji politik Indonesia, Dr A Effendy Choirie, sentimen kemelayuan dalam Umno adalah sinonim dengan Islam. Katanya, definisi dalam Perlembagaan negara yang mana orang Melayu mesti beragama Islam bermakna bahawa berjuang demi Melayu ipso facto bererti suatu perjuangan demi Islam.

Dalam bukunya “Islam-Nasionalisme Umno-PKB: Studi Komparasi dan Diplomasi” (Pensil-234, Jakarta, 2008), Dr Effendy berkata perjuangan Umno dalam kerangka Islam dan kebangsaan adalah sejalan.

Rasa cinta kepada bangsa dan tanah air tidak bercanggah dengan Islam. Ini adalah naluri yang diberikan ALLAH kepada manusia, termasuk Nabi Muhammad. Rasulullah juga cinta kepada bani dan tanah kelahirannya, Mekah. Baginda pasti tidak mahu meninggalkan Mekah tetapi terpaksa berhijrah kerana ancaman Quraisy. Perasaan kebangsaan atau nasionalis tidak mengurangkan ketaatan seseorang kepada ALLAH.

Ideologi kebangsaan Umno bersifat positif dan pragmatik, bukan destruktif dan dogmatik. Wujud sintesis pragmatis antara aspirasi kebangsaan dan Islam. Ideologi Umno tidak bertentangan dengan agama kerana Umno berjuang menegakkan Islam dan menyatupadukan umat Melayu-Islam dalam ikatan persaudaraan Islamiah.

Label asobiyyah yang dilemparkan terhadap Umno tidak relevan kerana Umno tidak mengamalkan assobiyyah jahiliyah seperti yang dikutuk Nabi. Ketika ditanya Wathilah ibn Asy, apakah asobiyyah itu, Nabi Muhammad menjawab: “Engkau membela kaummu dalam kezaliman.”

Berdasarkan komitmen Umno mendaulatkan Islam dan menggabungkan semangat Islam-kebangsaan sebagai rallying point menggerak kebangkitan rakyat menentang penjajahan seterusnya memperjuangkan kemerdekaan dan mendasari proses nation-building negara ini, Dr Effendy berkata: “Umno mempunyai saham besar dalam membidani kelahiran negara Malaysia, kerana itu memegang klaim historis untuk mengekalkan kekuasaannya dari awal kemerdekaan hingga sekarang.” (hal 36).
DR MASHITAH IBRAHIM
7 Disember 2012

1 comment:

Anonymous said...

Melayu dan Islam seperti aur dan tebing. Melayu, seperti aur perlukan tebing yang kukuh dan jitu untuk terus hidup. Oleh itu akarnya menyulami tanah tebing agar tidak dihakis dek air yang sentiasa mengalir. Dengan pertolongan dan keredhaan Allah, insya-Allah Islam di Malaysia terutama di kalangan ummat Melayu akan terus terpelihara dari ganggu gugat pihak-pihak oportunis dan mereka yang memusuhi Islam. Hanya akhlak islami sahajalah yang boleh menentukan survival orang Melayu. Allahuwaklam

Isu Terkini

get this widget here