Jadilah Pengikut Pecah Palak Mikir

Saturday, 19 October 2013

#PAU13 Panas! Tun Faisal Bongkarkan Kemelut Dinamakan Politik Wang

Perh Tun Faisal bongkar kemelut dinamakan Politik Wang dalam UMNO. Tujuan Tun adalah jelas sebagai pencerahan demi integriti UMNO. Tetapi untuk memahami apa sebenarnya dimaksudkan politik wang, itu agak berbelit-belit jika kita gagal teliti dengan sebaik-baiknya.

Perlu ada pemahaman yang jelas di antara istilah menggunakan wang untuk kos perbelanjaan kempen dengan menggunakan wang bagi membeli undi, kata Tun Faisal Ismail Aziz. 

Menurut calon bagi ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu, kesilapan membezakan kedua-dua perkara tersebut boleh mengundang persepsi negatif di kalangan masyarakat terhadap pemilihan Umno hari ini.

Malah, ia juga secara jelas akan memburukkan lagi imej calon yang dikaitkan.

Katanya, ini kerana setiap calon yang bertanding tidak akan terlepas daripada membelanjakan wang, namun sekiranya wang yang dibelanjakan berniat untuk membeli undi, maka ia sememangnya adalah satu kesalahan dan perwakilan sewajarnya menolak untuk memilih calon terbabit sebagai pemimpin.

"Maknanya apa saja kempen yang dibuat, perlu menggunakan perbelanjaan kempen. Keduanya, politik wang patut didefinisikan sebagai penggunaan wang untuk membeli atau meraih undi.

"Kena bezakan antara jentera parti, perbelanjaan kempen dengan orang yang menggunakan wang untuk membeli undi," katanya kepada Antarapos.
Isu politik wang kembali hangat sebaik sahaja Umno mengadakan pemilihan dan mesyuarat perwakilannya bagi penggal 2013-2016 Sabtu lepas.

Dan menjelang pemilihan Majlis Tertinggi Umno hari ini ia semakin rancak diperdebatkan.

Malah, Umno sebelum ini pernah mengheret beberapa pemimpinnya kerana didakwa terlibat membeli undi, antaranya Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan bekas ahli majlis tertinggi Umno, Norza Zakaria.

Isa kemudiannya digantung selama tiga tahun, manakala Norza telah diheret ke mahkamah untuk menghadapi dua tuduhan menawarkan rasuah kepada perwakilan untuk mengundi beliau dalam pemilihan parti. Bagaimanapun Norza mengaku tidak bersalah dan memenangi kes itu.

Begitu juga dengan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang turut dikaitkan, namun beliau tidak diambil tindakan kerana ketiadaan bukti.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata dengan melakukan pindaan perlembagaan yang membolehkan ahli akar umbi menentukan pemimpin tertinggi, Umno telah membuktikan bahawa parti itu berani membuat perubahan dalam membuktikan ketelusan proses pemilihan.

Tun Faisal yang pernah menjadi exco Pemuda Umno menambah, jumlah perwakilan yang terlibat dalam pemilihan kali ini iaitu seramai 146,500 juga memungkinkan politik wang sukar terjadi.

Namun beliau berkata, calon yang bertanding juga kadangkala 'terperangkap' disebabkan faktor teknikal yang sememangnya wujud dalam musim pemilihan.

Jelasnya lagi, perbelanjaan yang digunakan untuk berkempen kadangkala disalah tafsir sebagai cubaan untuk membeli undi.

"Kita kena berkempen sebab kita nak kenalkan diri, kena 'market' diri kita sebagai ahli politik. Tapi kadang-kadang perbelanjaan kempen melibatkan sejumlah wang. Kalau kata perwakilan yang membayar pembiayaan, ia tak masuk akal," katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mendedahkan bahawa terdapat kes-kes terpencil sebelum ini yang mana terdapat perwakilan yang dibayar untuk membuat pengakuan palsu.

"Bila kalah, ada orang mengaku terima wang. Padahal orang yang mengaku terima wang ini sebenarnya dibayar untuk mengaku," katanya.

Pokok pangkalnya, Tun Faisal berkata, keputusan bijak perwakilan adalah kunci dalam menentukan keberkesanan pindaan perlembagaan ini, selain ia juga menentukan halatuju parti masa depan.

"Yang kita nak sebenarnya supaya pemimpin yang kita pilih itu biarlah orang yang berwibawa, yang boleh membantu parti. Itu hasrat sebenar.

"Tapi kalau kata kita pilih pemimpin kerana pemimpin itu boleh beri sesuatu kepada kita, itu dah belakangkan hasrat sebenar kita untuk memilihnya bagi menguatkan parti. Sayanglah.," katanya lagi.

Seramai 146,500 anggota akar umbi akan menentukan saf kepimpinan tertinggi parti hari ini.

Sebanyak 71 orang calon akan bertanding untuk merebut 29 kerusi jawatan yang dipertandingkan dalam Majlis Tertinggi iaitu timbalan pengerusi tetap (tiga calon), naib presiden (enam) dan anggota Majlis Tertinggi (62). sumber

No comments:

Isu Terkini

get this widget here