Jadilah Pengikut Pecah Palak Mikir

Saturday, 15 March 2014

PM sahkan Pesawat MAS MH370 Sengaja Diterbangkan Ke Kepulauan Andaman

SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengesahkan pesawat tidak dikenali yang dikesan radar utama adalah pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, sambil berkata ia telah menyimpang dari laluan penerbangan asal menuju ke Beijing dan hilang sejak Sabtu lepas.

"Hari ini berdasarkan data satelit belum diproses, yang diperoleh dari penyedia perkhidmatan data satelit, kita boleh sahkan bahawa pesawat yang ditunjukkan dalam data radar utama itu adalah Penerbangan MH370," katanya.

Berikutan perkembangan itu, Malaysia dan rakan sejawat antarabangsanya memutuskan bahawa kali terakhir pesawat itu berhubung dengan satelit kemungkinan dalam satu daripada dua koridor.

Dua koridor yang berkemungkinan itu adalah satu koridor utara yang dianggarkan menjangkau dari sempadan Kazakhtstan dan Turkmenistan sehingga utara Thailand atau koridor selatan yang dianggarkan menganjur dari Indonesia ke utara Lautan Hindi.

"Pasukan siasatan sedang berusaha untuk memperhalusi maklumat itu," katanya.

Walaupun terdapat laporan media mengenai kemungkinan pesawat itu dirampas, Najib menegaskan bahawa pihak berkuasa masih menyiasat semua kemungkinan sehingga kepada apa yang menyebabkan Penerbangan MH370 tersasar dari laluan penerbangan asalnya. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Isyarat radar-pengesan militari menunjukkan kapal terbang MAS MH370 atau pesawat MAS Malaysia Airlines (MAS) yang hilang sejak Sabtu lalu sengaja diterbangkan merentasi Semenanjung Malaysia ke Kepulauan Andaman, menurut beberapa sumber yang terlibat dengan siasatan itu, kata Reuters pada Jumaat.

Dua sumber berkata, sebuah pesawat yang tidak dikenali yang dipercayai MAS MH370 telah mengikuti arah antara laluan pelayaran – menunjukkan ia sedang diterbangkan oleh seseorang dengan latihan penerbangan – apabila ia kali terakhir dikesan radar tentera di pantai barat laut Malaysia.

Titik akhir pada radar pengesan militari itu menunjukkan pesawat MAS MH370 tersebut terbang menuju Kepulauan Andaman di India, kata mereka.

Titik laluan adalah lokasi geografi, dapat diketahui dengan mengira longitud dan latitud, yang membantu juruterbang mengemudi arah sepanjang laluan udara yang dihadkan.

Menurut sumber ketiga, siasatan kini fokus kepada teori bahawa seseorang yang tahu bagaimana untuk menerbangkan kapal terbang MAS MH370 tersebut dengan sengaja mengalihkan pesawat yang membawa 239 penumpang itu, ratusan batu di luar laluan asalnya dari Kuala Lumpur ke Beijing.

“Apa yang boleh kami katakan adalah kemungkinan terdapat unsur sabotaj menerusi rampasan pesawat,” kata seorang pegawai kanan polis Malaysia.

Kesemua sumber enggan nama mereka didedahkan kerana mereka tidak dibenarkan untuk bercakap kepada media kerana takut akan mengganggu siasatan.

Beberapa pegawai Kementerian Pengangkutan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan sebarang komen mengenai kapal terbang mas.

No comments:

Isu Terkini

get this widget here