Jadilah Pengikut Pecah Palak Mikir

Sunday, 9 March 2014

#Prayformh370 Penglibatan Kerjasama Pelbagai Ajensi Antabangsa Mengkaji Teori Tompakan Minyak dan Pengganas


TUMPAHAN minyak yang dilaporkan ditemui kira-kira 140 kilometer ke selatan Pulau Tho Chu di pesisir selatan Vietnam mungkin menandakan lokasi hilangnya pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Ada teori mengatakan lokasi terakhir pesawat itu ialah di sekitar perairan di Teluk Siam, tetapi semuanya masih menjadi misteri terutama apabila laporan terbaru mengatakan dua daripada 227 penumpangnya menggunakan passport curi.

Tinjauan udara yang dilakukan oleh tentera Vietnam dikatakan telah menemui tompokan minyak sepanjang 15 ke 20 kilometer di luar pesisir pantai negara itu semalam yang menandakan itu mungkin petunjuk pertama akan misteri kehilangan pesawat yang Boeing 777-200ER yang dalam perjalan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu.

Ekoran misteri kehilangan pesawat pada kira-kira pukul 1.30 pagi waktu Malaysia itu, enam negara telah bekerjasama melakukan gerakan mencari dan menyelamat. Tetapi usaha itu masih buntu kerana ketika pesawat itu hilang tidak ada panggilan atau isyarat kecemasan, tiada cuaca buruk atau petanda-petanda lain yang menyebabkan pesawat yang ketika itu berada pada keadaan paling selamat dalam penerbangan tiba-tiba hilang.

Kemungkinan kehilangan pesawat itu angkara perbuatan pengganas muncul apabila Austria dan Itali mengesahkan dua penumpang MH370 menggunakan passport warganegara mereka yang dicuri. Kedua-duanya lelaki.

“Ia sangat mengelirukan ketika ini,” kata penyiasat kemalangan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Safety Operating Systems di Washington, John Cox.

Bagaimanapun para pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata, setakat ini belum ada tanda-tanda yang menunjukkan kehilangan pesawat itu berpunca daripada perbuatan pengganas.

Kata pegawai itu, ini kerana penyiasatan masih di peringkat awal dan pihak AS bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia dan negara-negara sekitarnya bagi mengenal pasti puncanya.

Passport Austria yang dicuri dan digunakan oleh individu misteri itu untuk menaiki penerbangan MH370 milik lelaki berusia 30 tahun yang dilaporkan hilang di Thailand pada 2012, sementara pasport Itali milik Luigi Maraldi mengatakan dokumennya itu hilang pada Ogos lalu. Perkara itu disahkan oleh Kementerian Luar kedua-dua negara itu.

Kehilangan pesawat di tengah lautan dan penggunaan passport curi oleh dua penumpang penerbangan itu menimbulkan kecurigaan.

Ketika pencarian melalui udara dihentikan malam tadi dan disambung seawal pagi ini, namun pencarian di laut oleh kapal-kapal yang telah ditugaskan diteruskan sepanjang malam ketika kejadian itu sudah melebihi 24 jam sejak ia terputus hubungan dengan menara kawalan.

Ketika hilang, terdapat 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam pesawat berenjin kembar dan badan lebar itu – mereka terdiri warga China 153 termasuk seorang bayi – yang merupakan kumpulan terbesar menaiki penerbangan itu.

Kini China, Vietnam, Filipina, AS dan Singapura telah menghulurkan bantuan kepada Malaysia untuk mencari pesawat yang hilang itu. AS menghantar kapal pemusnah Pinckney dari Angkatan Laut AS Ke-7 untuk membantu pencarian.

Malah Presiden Barack Obama juga telah dimaklumkan mengenai kejadian itu ketika beliau sedang bercuti bersama keluarganya di Key Largo, Florida.

Tumpahan minyak yang ditemui oleh pesawat tentera Vietnam terletak di lokasi 140 kilometer di selatan pulau Tho Chu di Teluk Siam. Menurut Jabatan Marin dan Pantai Thailand, maksimum kedalaman kawasan itu kira-kira 80 meter.

Seorang pakar keselamatan AS yang juga bekas pengarah Perkhidmatan Rahsia AS, Magaw berkata, jika kehilangan pasawat itu ada kaitan dengan perbuatan pengganas, tidak mustahil mereka menggunakan laut sebagai kawasan untuk menghilangkan bukti penglibatan mereka.

Kata Magaw, kehadiran dua penumpang yang menggunakan passport curi merupakan petunjuk awal kemungkinan wujudnya penglibatan pengganas.

Di pihak imigresen Malaysia pula, mereka menggunakan kaedah biometric dengan memeriksa dokumen setiap pelancong yang keluar untuk melihat sejarah perjalanan mereka selain memeriksa cap jari dan muka melalui pengesahan pengenalan bergambar.

Pegawai-pegawai dari AS kini bekerja rapat dengan pihak berkuasa Malaysia dan China untuk merungkai misteri kehilangan MH370 dengan tumpuan pada pemeriksaan masuk lapangan terbang dan sama ada kasut para penumpang diimbas dengan betul untuk mengesan bahan letupan.

Penerbangan MH370 hilang dari radar pada pukul 1.30 pagi dan kali terakhir pesawat itu dikesan radar ialah ketika ia berada kira-kira 120 batu nautika di timur Kota Bharu.

Agensi pengumpul maklumat penerbangan yang berpangkalan di Houston, FlightAware memberitahu, ketinggian terakhir pesawat itu ialah pada paras 35,000 kaki dan terbang ke aras timur laut pada kelajuan 539 batu sejam. Kelajuan dan ketinggian itu merupakan kebiasaan untuk pasawat 777 ketika dalam keadaan cruise mode.

Kehilangan pesawat itu secara tiba-tiba kemungkinan disebabkan ia pecah ketika di udara yang disebabkan oleh kegagalan struktur badan pasawat yang antaranya berpunca daripada letupan. Tetapi kata Cox, jika pecah seperti itu pesawat akan bersepai kepada banyak bahagian kecil dan serpihan-serpihan itu akan timbul di permukaan air yang akan mewujudkan seolah-olah satu kawasan padang yang penuh dengan serpihan.

Setakat ini tidak ada sebarang laporan mengenai penemuan serpihan seperti itu, dan jika pesawat itu menjunam disebabkan kegagalan mekanikal atau kecuaian juru terbang serpihan-serpihan seperti itu amat kurang dan sukar untuk dikesan. Tetapi kata Cox, jika situasi itu berlaku, juru terbang, pembantu dan kru pesawat mempunyai masa untuk melakukan panggilan kecemasan.

Sumber : Bloomberg

1 comment:

Anonymous said...

..arus di laut china selatan sgt kuat dan selalunya ke arah selatan menghala ke pengairan johor.. elok cuba tengok ke kawasan ini sebab pesawat dilapurkan hilang jam 2 pagi..

..sementara operasi search & rescue hanya dijalankan pada pukul 8 pagi.. tidak mustahil cebisan bangkai pesawat telah hanyut jauh di bawa arus ke selatan tanahair..

Isu Terkini

get this widget here