Jadilah Pengikut Pecah Palak Mikir

Saturday 21 April 2012

Rempit United Revolusi Generasi Baru Mat-mat Rempit

Sudah lama mat-mat rempit menaruh rasa tidak dipandang atau terpinggir dari perhatian kerajaan. Mereka juga individu yang memerlukan perhatian kerajaan, kerana mereka juga ada kemampuan menyumbang kepada negara melalui impian dan apa yang mereka ada.

Sekarang sesiapa yang merasakan dirinya mat-mat rempit harus bersyukur kerana suara dan pandangan anda telah dipandang kerajaan UMNO BN dengan bersungguh-sungguh untuk membawa anda kesatu demensi baru yang mungkin tidak penah dugakan selama ini. Inilah masanya Rempit United Revolusi Generasi Baru Mat-mat Rempit .


Pada 18 April satu persidangan khas buat mat-mat rempit tampil mempamerkan apa yang mereka ada dan apa yang mereka mahu dari kerajaan. David Teo juga hadir sebagai indidvidu yang terlibat untuk merialisasikan impian-impian mat-mat rempit di Malaysia dalam Rempit United Revolusi Generasi Baru Mat-mat Rempit . Syabas kerajaan Malaysia yang membuktikan Tranformasi Kerajaan tidak penah meminggirkan satupun golongan dan kumpulan yang ujud dalam komuditi negara ini dan sekarang inilah masanya merialisasikan Rempit United Revolusi Generasi Baru Mat-mat Rempit . Jangan lepas perluang buat-buat mat rempit, masa anda telah tiba!



Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Dilancarkan Untuk Mengubah Persepsi Negatif Masyarakat terhadap Rempit
KUALA LUMPUR, 18 APRIL 2012 – Sebuah pertubuhan baru telah dilancarkan dan bakal menjadi tunjang dalam usaha untuk membantu menyelesaikan permasalahan rempit di dalam negara ini dan mendefinisikan semula budaya ini di dalam konteks yang lebih positif.
Pertubuhan Rempit Bersatu atau Rempit United (RU) ditubuhkan dibawah skop Kementerian Dalam Negeri dan merupakan satu langkah kerajaan untuk mendapatkan sokongan organisasi-organisasi luar di dalam usaha untuk membantu anak-anak muda yang bermasalah dan mengintegrasikan mereka di dalam masyarakat.
Organisasi ini akan memikul peranan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan terdiri daripada gabungan 200,000 kelab dan persatuan bermotor sama ada yang rasmi atau tidak.
Dianggarkan terdapat lebih 10 juta penunggang motosikal berdaftar di Malaysia dan separuh daripada jumlah ini merupakan golongan remaja dengan enam peratus daripada mereka terlibat dalam aktiviti rempit.
Kerap kali stigma negatif yang dilontarkan telah menimbulkan masalah bukan hanya kepada remaja terbabit tetapi juga kepada masyarakat umum. Ini dapat dibuktikan dengan peningkatan kes-kes jenayah saban tahun yang melibatkan remaja-remaja ini. Sebagai sebahagian daripada usaha membantu remaja ini, persatuan-persatuan industri kini bergabung dibawah satu pertubuhan dengan matlamat untuk membantu bukan sahaja golongan ini tetapi juga untuk menanam rasa selamat di kalangan masyarakat umum.
Objektif pertubuhan ini adalah untuk membantu remaja-remaja ini dalam menyemai kembali nilai-nilai positif dan menjauhkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti jenayah.

Menurut Presiden RU, Wazi Abdul Hamid, penubuhan organisasi ini amat bertepatan memandangkan persepsi negatif yang semakin meningkat terhadap aktiviti bermotor yang kebanyakkannya melibatkan golongan remaja yang berpendapatan rendah.
Di Semenanjung Malaysia, dianggarkan terdapat 600,000 remaja yang terlibat di dalam aktiviti merempit. Golongan ini selalunya mendapat kritikan hebat disebabkan oleh aktiviti mereka yang sering menjadi punca kepada gejala trafik. Di dalam kes yang lebih ekstrem, sesetengah remaja ini turut dikaitkan dengan beberapa kegiatan jenayah seperti rompakan berkumpulan, pergaduhan di jalanan, vandalisma, ragut dan buli.
 “Adalah perlu untuk membezakan remaja yang menggemari aktiviti bermotosikal untuk keseronokan mereka yang terlibat di dalam kegiatan jenayah (samseng jalanan) dan vandalisme. Ini bukan sesuatu yang mudah, tetapi perlu dilakukan untuk membezakan dua kumpulan ini,” kata beliau.
Sehingga kini, perkataan rempit menerima tanggapan negatif daripada masyarakat.
 “Permasalahan ini perlu ditangani dengan mengubah persepsi dan pemahaman. Pendidikan pula perlu diterapkan kepada dua kelompok: remaja yang terlibat dan masyarakat. Dalam kebanyakan kes, terdapat kecenderungan oleh remaja-remaja ini untuk bertindak agresif  disebabkan oleh pandangan negatif juga keinginan untuk menonjol,” katanya.
 “Di dalam kebanyakan kes, aktiviti merempit merupakan cara untuk remaja-remaja ini meluahkan perasaan mereka. Keinginan mereka hanya untuk berseronok. Dan menunggang motosikal adalah cara yang paling mudah dan murah untuk mendapat keseronokan. Jika anda mempunyai RM5 atau RM10, anda boleh menunggang di sekitar bandar dan menikmati keseronokannya. Bagi remaja-remaja ini, inilah cara mereka untuk mereka menikmatinya,” tambah Wazi.
Pelan dan rancangan dibawah RU akan menggariskan tindakan yang relevan untuk membantu golongan yang disisihkan ini. Setiap program mempunyai mekanisma untuk membina karakter dan mendidik remaja-remaja ini melalui aktiviti yang digemari mereka.
Tambahan pula, pertubuhan ini digerakkan oleh sekumpulan individu yang terlibat secara langsung di dalam bidang permotoran, pertubuhan ini juga mendapat sokongan padu daripada organisasi-organisasi industri permotoran.
Sebagai bekas pelumba negara yang lebih dikenali sebagai ‘Kapcai King’, Wazi percaya bahawa Rempit United mampu untuk membawa perubahan kepada remaja-remaja ini.
 “Program ini menawarkan pendekatan yang tepat dan dalam masa yang sama akan menyediakan landasan yang betul kepada remaja-remaja ini untuk terlibat di dalam aktiviti rekreasi yang lebih produktif. Ini juga mampu membawa remaja-remaja ini untuk kembali menyertai kelompok masyarakat.
 “Remaja-remaja yang dilatih melalui program ini akan diberikan gambaran yang positif. Skop program ini merangkumi program pembangunan diri seperti menyediakan peluang kerjaya. Ini akan meningkatkan kualiti hidup mereka,” tambah beliau.
Secara tradisinya, masyarakat tidak mudah untuk menerima sesebuah subbudaya yang baru, seperti rock & roll atau raving. Namun dalam setiap generasi, gaya hidup yang baharu ini akan mencari jalan dan tempatnya sendiri. Masalah ini selalunya dibesar-besarkan oleh sifat takut dan kurang pemahaman yang mendalam. “Kita perlu memimpin golongan ini, bukan memusuhi mereka. Tanggapan negatif hanya akan memburukkan lagi keadaan seperti keadaan sekarang dimana meningkatnya kes-kes samseng jalanan,” katanya.
Dalam mengambil pendekatan untuk menyelesaikan masalah ini, pertubuhan ini telah mendapat sokongan beberapa artis tempatan untuk mendekati golongan remaja ini. Selebriti sering digambarkan sebagai contoh ikutan di dalam masyarakat moden dan dengan mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat, pertubuhan ini berharap agar dapat menanam inspirasi terhadap remaja-remaja ini.
Antara selebriti terkenal yang akan turut menjayakan kempen ini adalah Zizan Raja Lawak, Shaheizy Sam, Mejar (K) David Teo, Intan Ladyana, Adi Putra, Sari Yanti, Nora Danish dan Ilia Iryani. Turut menyertai kempen ini adalah pelumba-pelumba veteran negara seperti Chia Tuck Cheong, Sharun Nizam Tamin dan M.Meganathan yang turut sama kehadapan dalam membantu mengatasi permasalahan ini.
Selebriti-selebriti ini akan bekerjasama dengan pertubuhan untuk menjenamakan semula rempit di kalangan masyarakat.
Antara rancangan-rancangan lain adalah termasuk kolaborasi bersama Metrowealth International Group untuk menerbitkan sebuah ‘docu-drama’ berkenaan isu ini.

 “Ini merupakan masalah stereotaip. Dalam kebanyakan keadaan, aktiviti tunggangan mereka ditambah dengan keriangan meraikan kemudaan dilihat sebagai merbahaya dan ini menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat,” Wazi turut menambah.
Sehingga kini, hanya terdapat dua buah litar lumba di Malaysia yang mana kapasitinya tidak dapat menampung jumlah remaja yang boleh dikategorikan sebagai ‘rempit’. Dengan mengambil kira faktor ini, RU telah merangka beberapa program untuk meningkatkan komitmen jangka panjang dan penyertaan secara aktif daripada remaja terlibat.
RU akan menganjurkan siri jelajah di seluruh negara menerusi kempen yang dikenali sebagai Evolusi-R. Objektif utama adalah untuk menanamkan nilai-nilai beraspirasi tinggi kepada mereka yang terlibat.
Pertubuhan ini diharapkan dapat menarik dan menyediakan bimbingan kepada remaja-remaja ini melalui program-program industri dan komponen pembinaan kerjaya. Acara yang pertama akan diadakan di Kuala Terengganu pada 2 Jun 2012.
Fasa kedua program ini dijangka bermula pada penggal ketiga tahun ini dengan kerjasama dan inisiatif beberapa agensi kerajaan seperti Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan

MENGENAI REMPIT UNITED (RU)

Ditubuhkan pada 2012 dibawah skop Kementerian Dalam Negeri, objektif utama ialah untuk mengembalikan dan mengekalkan hak-hak remaja ini untuk terlibat di dalam aktiviti bermotor sebagai langkah peningkatan kendiri dan mengenali diri sendiri.

Kami merupakan sebuah pertubuhan yang komited untuk mendefinisikan semula dan menyemai nilai beraspirasi tinggi di dalam budaya Rempit. Kami telah merekrut beberapa kumpulan dan persatuan bermotosikal di seluruh Semenanjung Malaysia di dalam usaha untuk menubuhkan Pertubuhan Rempit United.

Kami membangunkan saluran yang tepat kepada ahli-ahli untuk berkongsi pengalaman, membantu mereka yang di dalam kesukaran dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka untuk mendapat peluang perniagaan dan pekerjaan yang lebih baik.

Kami akan melobi dengan kerajaan untuk membina kemudahan trek dan fasiliti untuk aktiviti rempit sebagai rekreasi.

Duta-duta kami juga memainkan peranan penting di dalam Rempit United dan mereka akan melibatkan diri secara langsung.

Faedah Keahlian:
Kad keahlian ini diiktiraf oleh pihak Kerajaan dan ahli adalah layak untuk mendapat:
§         Diskaun eksklusif untuk saman trafik. (Dalam perancangan)
§         Diskaun eksklusif untuk barangan berkaitan aktiviti bermotor.

Siapa yang boleh menyertai?
§         Berusia 16 hingga 30 tahun
§         Berminat di dalam aktiviti rekreasi permotoran seperti berlumba dan berkonvoi

Apa itu Evolusi-R?
Program ini bermatlamat untuk mengutamakan kehendak remaja-remaja ini untuk datang dan menyertai aktiviti. Perlumbaan motosikal (Evolusi-R Championship) akan dijalankan di 3 buah negeri.
Struktur ‘Championship’:
1. Kelayakan (Sebulan) -> Sistem mata (3 negeri)
2. State Championship (Sebulan) -> Penyingkiran (Top 20/ulangan kategori di 3 negeri))
3. National Championship (2 hari) -> Penyingkiran (Top 20/kategori di 3 negeri)

Perlumbaan akan dimulakan di Kuala Terengganu (2 Jun 2012) diikuti di Perak pada 9 Jun 2012. Pusingan ketiga dan akhir kempen Evolusi-R akan diadakan di Kuala Lumpur pada 16 Jun 2012.

Jumlah hadiah keseluruhan untuk ‘State Championship’ adalah sehingga RM14,000. RM25,000 turut menanti pemenang di peringkat ‘National Championship’. Diikuti dengan RM10,000 menanti pemenang tempat kedua dan RM5,000 untuk pemenang tempat ketiga.

No comments:

Isu Terkini

get this widget here