Permohonan Majalah Herald - The Catholic Weekly untuk menggunakan kalimah ALLAH dalam terbitan majalah versi Bahasa Melayu merupakan agenda tersirat pihak missionary kristian mengikis syiar Islam di Malaysia.
Ketagihan tersebut nyata melanggar ketetapan Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan Islam adalah Agama Rasmi Malaysia sekaligus mencabar kesabaran umat Islam.
Taktik dan strategi missionary kristian ini yang telah berjaya dilakukan di negara jiran kita; Indonesia dan kini secara halus ia cuba dilakukan di Malaysia.
PERTAMA, di Indonesia umat Islam di sana DIBINGUNGKAN dan DIKELIRUKAN dengan penggunaan istilah-istilah bahasa Arab dan Islam oleh para missionary kristian seperti perkataan kalimah ‘ALLAH”, makmum, jemaah, doa, zikir, amal ibadat, sedekah jariah , ummat beragama, iman, rohaniyah, Ruhul kudus dan sebagainya.
Missionary kristian turut mengubah corak dakwah mereka dengan menukar waktu ibadah ‘Sunday Prayer’ kepada ‘Friday Prayer’ yang disebut sebagai ‘Ibadat Juma'atan’ yang sama waktunya seperti solat Jumaat bagi umat Islam. Mereka turut mengalun kitab bible dalam bahasa Arab bagi menarik minat pendengar. Ini bagi menunjukkan kepada umat Islam bahawa kristian juga adalah agama samawi (langit) dan diturunkan lebih awal kepada orang Arab. Jadi mengapa umat Islam tidak boleh menerima kristian kerana masing-masing menyembah “ALLAH”?
KEDUA, umat Islam sering DIDOKTRIN dengan dakyah dan idea LIBERALISME, KEBEBASAN serta HAK ASASI MANUSIA dalam setiap tindak-tanduk mereka. Golongan sasaran adalah para mahasiswa dan golongan masyarakat bawahan dengan tema kemiskinan rakyat, tekanan ekonomi dan kepincangan pemerintahan. Mereka sering diupah untuk berdemonstrasi dijalanan membuat kacau atau berwacana memprotes apajua dasar kerajaan.
KETIGA, ketika rakyat leka dengan rasa tidak puas hati membuak-buak kepada pemerintah, pada masa itulah mereka diperkenalkan dengan idea-idea kesaksamaan dan sama rata dimana hanya dengan idealisme ‘semua dapat merasai benda yang sama tanpa mengira status ras dan agama’ maka barulah akan wujud keadilan sosial. Hiburan-hiburan yang melampau digunakan untuk melalaikan umat Islam dari ibadah wajib mereka.
KEEMPAT, ketika rakyat tidak lagi mahu mendengar apajua kebaikan yang dilakukan pemerintah, ketika itulah jarum-jarum Kristianisasi mula memasuki dan merasuk rakyat kononnya pemerintahan Islam banyak membawa keburukan kepada rakyat dan negara. Kristian dipromosikan sebagai agama penyelamat. Sedangkan Islam sebagai agama yang banyak bawa bencana di dunia. Ketika ini idea Jesus Al Masih atau Mesiah Sang Penyelamat mula dicanangkan sebagai bagi menyelamatkan kegawatan ekonomi dan politik negara.
KELIMA, ketika keadaan rakyat yang semakin tertekan akibat kegawatan ekonomi, mereka kurang menghiraukan soal-soal agama, kepentingan bangsa mahupun kedaulatan negara. Ketika ini dakyah kristianisasi gereja akan memujuk rakyat dengan pelbagai bantuan wang, makanan, khidmat pendidikan dan aktiviti kemasyarakatan yang berselindung di sebalik pertubuhan-pertubuhan sosial dan parti-parti politik atas dasar ‘kepedulian bangsa’ dan ‘kebersamaan’. Dana asing ketika ini akan mencurah-curah masuk dan promosi khidmat masyarakat tersebut diberikan secara besar-besaran melalui pelbagai alternatif media.
Pihak missionary mendampingi golongan sasaran melalui kunjungan agen-agen mereka ke masjid, surau, pesantren dan rumah-rumah kebajikan antaranya melalui majlis berbuka puasa bersama, pemberian Al Quran, sumbangan kewangan dan barang keperluan kepada ketua-ketua kampung, anak-anak yatim serta ibu tunggal.
Para missionary kristian akan berpakaian dan berbicara sepertimana umat islam berpakaian dan berbicara, bahkan mereka semakin berani membaca ayat-ayat Quran dan hadis-hadis muktabar. Ketika ini ada segelintir umat Islam tersentuh dengan budi baik pihak ini dan menyokong apajua tindakan tersebut atas nama ‘kesatuan dan toleransi umat beragama’. Maka acara bersama seperti doa, solat dan ibadah puasa pelbagai agama dipromosikan dalam sesebuah acara. Idea-idea PLURALISME kian subur dan giat dicanangkan oleh tokoh-tokoh Islam sendiri.
KEENAM, apabila masyarakat muslim mula terhutang budi pada organisasi-organisasi gereja ini maka dakyah seterusnya adalah memesongkan iman seseorang muslim dengan cara mendapatkan pengakuan bahawa Islam adalah ajaran yang salah. Ketika ini apa jua berkaitan Islam, Nabi Muhammad, Al-Quran, Puasa, Zakat dan Haji dianggap sebagai ibadah sia-sia dan menyesatkan serta tidak diterima Jesus. Hati umat yang telah kotor dan keliru akibat sumber makanan haram yang diterima selama ini akan mudah dipengaruhi dakyah-dakyah kristian yang memujuk ini.
KETUJUH, apabila seseorang yang didakyahkan semakin keliru, terhutang budi dan mula meragui ajaran Islam, maka ketika ini mereka akan dipujuk rayu oleh beberapa pastor-pastor ternama yang boleh berbicara dan mengetahui selok belok Islam. Ketika ini acara brainwash atau cuci otak dilakukan secara agresif yang akan menyaksikan si individu atau kumpulan individu akan membuat ikrar untuk keluar dari Islam kerana tidak lagi yakin pada Islam. Ketika inilah PEMURTADAN secara sedar dan separa sedar berlaku.
KELAPAN, apabila diyakini seseorang individu atau kumpulan telah murtad maka acara seterusnya mereka akan dikristiankan oleh Ketua Pastor melalui upacara PEMBAPTISAN. Mereka dikehendaki meminum air ‘HOLY WATER’ atau upacara berendam di dalam air. Ketika itu iman Islam akan tercabut dan sahlah seseorang itu menjadi kristian dan kafir kepada Islam. Penganut Kristian baru ini seterusnya akan dilantik menjadi pastor-pastor yang akan menyebarkan lagi dakyah kristian terhadap umat Islam seterusnya.
Foto: Ibadah solat umat Islam ditiru untuk menggambarkan seolah-olah agama lain juga menyembah Allah dengan cara yang sama. Kononnya Islam telah mewarisi cara ibadah agama lain yang terlebih dahulu diturunkan ALLAH
No comments:
Post a Comment