Jadilah Pengikut Pecah Palak Mikir

Friday 8 November 2013

Malaysia Bakal Terjebak Klausa Saman Dalam TTPA Dengan Lebih Tinggi

Seorang yang berpengalaman dalam bidang TTPA mendedahkan di Bolivia, hampir 98% kes syarikat gegasi dan pelabur asing menyaman negara, bersangkutan dengan klausa TTPA telah mencapai 50% peluang cerah untuk menang kes.

Menurut anggota Panel Antarabangsa ISDS, Profesor Dr Gus Van Harten kajian dilakukan terhadap pelabur asing sejak 2 hingga 3 tahun telah membiayai kos kehakiman sebanyak RM953,850 dan kos guaman RM794.88 sejam.

Ini menunjukan Malaysia boleh terjebak dengan klausa disaman jika menandatangi TTPA. Kerana TTPA membenarkan pelabur memfailkan saman kepada mana-mana hos yang melanggari perjanjian.

Sudah tentu ini bukan satu keputusan yang mudah untuk menandatangi TTPA tetapi PPM tertarik dengan ulasan dari Utusan Malaysia, walaupun sedemikian PPM tidak rasa Malaysia cukup bersedia untuk menyertai TTPA dimasa terdekat ini walaupun kelebihannya untuk membangunkan negara adalah lebih tinggi berbanding sekarang.

BILA menyebut tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), mungkin tidak ramai rakyat biasa di luar bidang ekonomi dan perniagaan antarabangsa yang betul-betul memahami isi ceritanya mahupun implikasi terhadap hidup mereka kelak.

Antara isu terkini berkaitan TPPA adalah perenggan mengenai Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) di dalam bab mengenai pelaburan yang membolehkan syarikat atau pelabur asing menyaman Malaysia di tribunal antarabangsa jika berlaku pertikaian tertentu.

Bagi kumpulan majoriti negara ini, tentulah yang paling dibimbangkan adalah tahap kesediaan warga bumiputera menerima pelaksanaan TPPA berbanding bukan bumiputera yang lebih kukuh serta berpengalaman dalam pelbagai sektor ekonomi dan impaknya kepada generasi pewaris.

Felo Kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Felo Kanan dan Perunding Luar World Trade Institute, Switzerland, Prof. Madya Dr. Sufian Jusoh cuba mengatasi kebimbangan umum itu dengan memberi penjelasan lebih terperinci tentang klausa saman ISDS tersebut.

Menurut beliau, ISDS memang membolehkan pelabur luar secara peribadi menyaman negara tetapi bukannya terbuka kepada semua perkara dan hanya boleh saman jika melibatkan projek yang telah pun diluluskan kerajaan negara terbabit

"Ada dua cara saman. Di dalam undang- undang perdagangan antarabangsa, selalunya negara boleh menyaman negara lain, tetapi dalam keadaan tertentu perjanjian perlindungan pelaburan membolehkan pelabur sendiri atau negara pelabur menyaman negara tempat pelaburan itu dibuat jika melanggar perjanjian.

"Skop saman juga terhad dan bukan boleh saman sesuka hati. Jika projek itu tiada kebenaran kerajaan maka tidak boleh saman, ada peraturan-peraturannya" jelasnya.

Tambahnya, sebarang tindakan terhadap pelabur perlu ada prosedurnya seperti maklumkan alasan tindakan itu diambil, beri peluang merayu dan jika tindakan merampas barang pelabur dibuat tanpa beri ganti rugi contohnya, maka mereka berhak saman seperti rakyat tempatan sendiri berhak saman jika menghadapi situasi serupa.

Beliau memaklumkan antara peruntukan yang membolehkan pelabur asing menyaman kerajaan seperti perlindungan aset pelaburan oleh polis jika ada demonstrasi tetapi tidak termasuk isu-isu keselamatan, rahsia negara, polisi alam sekitar dan banyak lagi.

"Ini bukan kali pertama peruntukan ISDS dimasukkan dalam perjanjian dua hala. Kita sudah tandatangan 70 perjanjian dengan 70 negara termasuk dengan negara-negara ASEAN yang ada peruntukan sama, membolehkan pelabur asing menyaman negara (jika ada pertikaian) dan saman itu bukan sehala sahaja.

"TPPA juga sama, jangan risau pelabur AS sahaja boleh saman kita, pelabur kita pun boleh saman AS. Perlukah dirungkai semua 70 perjanjian itu semata-mata risau TPPA yang melibatkan AS ini? Ini perlu dijelaskan agar orang ramai tidak risau tanpa sebab," ujarnya.

Beliau mendedahkan daripada 70 perjanjian sebelum ini, hanya dua kes pelabur asing menyaman Malaysia dan 2 kes pelabur Malaysia menyaman negara tempat mereka melabur iaitu sebahagian daripada 514 kes dicatatkan antara 1987 dan 2012 di seluruh dunia.

Jelasnya lagi, 224 kes telah diselesaikan dengan 42 peratus memihak kepada negara terbabit, 31 peratus kepada pelabur sementara bakinya diselesaikan di luar mahkamah dengan purata kes pelabur yang menang menerima tidak lebih AS$5 juta (RM16.44 juta).

"Orang mungkin takut nilai saman besar tetapi perjanjian ini bukannya untuk kita menyaman atau disaman sesiapa. Klausa ini untuk memastikan semua orang ikut peraturan yang ditetapkan dan selama ini pun (pelabur asing) tiada masalah dengan Malaysia kerana semua ikut peraturan.

"Negara kita juga bukan seperti negara-negara yang banyak disaman pelabur asing seperti Argentina, Ecuador, Venezuela, Mexico, Mesir dan lain-lain. Sebenarnya, AS adalah antara lapan negara teratas yang paling banyak disaman pelabur asing" tegasnya.

Sufian memaklumkan, negara-negara yang banyak disaman itu bertindak mengabaikan aduan yang dibuat pelabur asing dan akibatnya pelabur tiada pilihan selain menyaman mereka.

Beliau mengingatkan semua pihak bahawa klausa ISDS juga demi melindungi aset pelabur Malaysia di negara luar memandangkan rekod 2007 hingga 2012 menunjukkan aset pelabur Malaysia di luar lebih tinggi daripada aset pelabur luar di negara ini.

"Jika kita tidak tandatangani TPPA sekalipun, pelabur dari negara-negara yang sudah mempunyai perjanjian dua hala dengan kita tetap boleh saman Malaysia tetapi mengikut syarat-syarat tertentu.

"Perjanjian perlindungan kita dengan AS dan Kanada sekarang ini tidak ada peruntukan ISDS tetapi ada peruntukan untuk negara itu menyaman kita atau negara kita menyaman mereka bagi pihak pelabur. Tanpa TPPA, pelabur kita tidak boleh saman mereka (perlu harap kerajaan Malaysia saman) jika timbul pertikaian. Memang sistem (dalam ISDS) tidak sempurna sepenuhnya tetapi ada cadangan langkah dan peruntukan untuk elak saman," jelasnya.

Beliau turut membangkitkan keperluan satu sistem pencegahan konflik untuk kerajaan pusat memantau kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar faham isu-isu berbangkit melibatkan pelabur asing bagi mengelak aduan melarat ke peringkat tribunal.

"Saya harap tiada lagi sistem 'petik kertas', semua enggan mengaku aduan dibuat pelabur itu dalam bidang kuasa atau kerja hakiki mereka sehingga akhirnya membawa kepada saman.

"Kalau pelabur buat aduan, kena ada sistem untuk dia mengadu dan selesaikan masalah yang timbul. Jika tiada sistem untuk pelabur saman negara sekalipun, perlu ada pencegahan dan penyelesaian konflik ini kerana kerajaan masih boleh saman negara terbabit (bagi pihak pelabur)," katanya.

Berkaitan isu China tidak termasuk dan seperti diketepikan AS dalam TPPA, Sufian menjelaskan AS dan China mempunyai perbincangan perjanjian pelaburan dua hala mereka sendiri yang lebih tinggi nilaiya daripada TPPA dan sekalipun dicadangkan negara lain, terpulang kepada China sendiri mahu sertai TPPA atau tidak.

Beliau turut memaklumkan, Malaysia kini masih boleh berunding untuk situasi menang-menang tetapi jika tidak menandatangani TPPA dan memilih masuk selepas 10 tahun contohnya, maka negara tidak boleh lagi berunding ketika itu dan terpaksa terima apa juga syarat (termasuk syarat baru) ditetapkan.

"Dari sudut pelaksanaan pula, kita mudah dan cepat kerana hanya melalui Kabinet. Negara lain perlu melalui Parlimen, Dewan Senat atau Kongres untuk luluskan TPPA.

"TPPA tidak boleh dilaksanakan selagi semua negara peserta tidak meluluskannya dan saya jangka ia hanya boleh dilaksanakan empat ke lima tahun selepas ditandatangani," jelas beliau.

Tambahnya, tempoh itu memberi masa untuk Malaysia bersedia, khususnya dalam membantu rakyat yang masih mencari tapak kukuh untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

"Pandangan saya, kerajaan mahu tandatangani atau tidak, perlu ada analisis kesan TPPA kepada golongan yang berkepentingan terlebih dahulu.

"Tingkatkan tahap kesediaan pelbagai pihak termasuk bumiputera serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebelum TPPA dilaksanakan, bantu jika mereka yang tidak cukup kepakaran, tiada sistem yang kukuh, tiada rakan kongsi di luar negara dan sebagainya. Kena lebih agresif bantu sebelum TPPA dimulakan," tegasnya
Artikel Penuh Utusan Malaysia

No comments:

Isu Terkini

get this widget here